X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

RMK12: Kerajaan rangka pelan mantapkan peranan anak muda

Kerajaan sedang merangka pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia dalam RMK12 untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang merangka pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkat bagi melahirkan pekerja mahir selain semangat patriotisme dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk.

Menurutnya, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

“Anak muda kita akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu terus dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama mencorak masa depan Malaysia.

“Pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara,” katanya semasa pembentangan RMK12 pada Isnin.

Selain itu, menurut beliau, bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas.

Katanya, sebanyak 140 pusat warga emas telah diwujudkan, dan kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan parlimen.

Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030, iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas.

“Malaysia juga perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang. Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” ujarnya.

Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pula, Ismail Sabri berkata, mereka akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti 'Job Coach', Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

Selain itu, tambah beliau, usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.

Menurutnya, penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025.

“Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat. Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja.

“Pembangunan ekonomi usahawan wanita akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran,” ujarnya.

Jelasnya, usahawan wanita digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluas pasaran.

“Rangka kerja bagi memperkasakan gender akan diperkenalkan serta undang-undang sivil dan syariah akan diperkukuh bagi menangani isu berkaitan wanita,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!