MAIK lancar Pelan Strategik MAIK 2021-2025

Tengku Sarafudin bertitah ketika Majlis Pelancaran Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada Isnin yang berlangsung secara dalam talian.
Tengku Sarafudin bertitah ketika Majlis Pelancaran Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada Isnin yang berlangsung secara dalam talian.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) melancarkan Pelan Strategik MAIK 2021-2025 dalam usaha menentukan hala tuju untuk terus maju ke hadapan sesuai dengan arus pemodenan abad ke-21.

Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, pelan itu menggariskan lima teras strategik utama, pertama mempertingkatkan kualiti tadbir urus pengurusan; kedua, memantapkan peranan Baitulmal sebagai institusi penggerak sosial dan ekonomi Islam serta ketiga, memperkasakan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi sosial umat Islam.

Baginda bertitah, selain itu dua lagi teras adalah memperkukuhkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi terkini serta memperkasakan penguatkuasaan undang-undang hal ehwal agama Islam dan membudayakan penyelidikan bagi kesejahteraan ummah.

"Hasrat bagi menggubal pelan strategik ini telah saya sampaikan pada 9 Januari tahun lalu di Majlis Makan Malam dan Penyampaian Amanat Tahun Baru 2020 bersama dengan semua kakitangan majlis.

"Bertitik tolak daripada situ beberapa siri bengkel serta perbincangan telah diadakan bagi merangka dan menggubal pelan ini dengan melibatkan seluruh warga kerja MAIK," titah baginda sempena Majlis Pelancaran Pelan Strategik Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada Isnin yang berlangsung secara dalam talian.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan melancarkan pelan strategik berkenaan.

Baginda bertitah, walau bagaimanapun, proses penyediaan pelan ini terganggu disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Namun, Alhamdulillah, akhirnya pelan strategik ini dapat disiapkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis pada 24 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Begitupun gerak kerja di peringkat semua ketua-ketua bahagian telah dilaksanakan bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi tahun 2021," titah baginda.

Tengku Sarafudin bertitah, komitmen, kesepakatan dan kerjasama yang erat dalam kalangan semua kakitangan amat perlu bagi mencapai sasaran KPI yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, apa yang lebih utama dan penting ialah setiap perancangan yang kita gariskan dan tetapkan untuk dicapai pastinya output akhir dan di hujung nanti ialah faedah kepada masyarakat Islam," titah baginda.

Jelas baginda, tempoh lima tahun ini adalah waktu membuat perubahan paradigma iaitu daripada melakukan kerja sebagai 'business as usual' kepada kerja dengan mementingkan kualiti, pencapaian sasaran dan output akhir yang terbaik terutama di dalam pengurusan hal ehwal agama Islam.

"Saya ingin mengingatkan bahawa pelan strategik ini bukan satu pelan yang tidak boleh diubah. Jika terdapat keperluan semasa untuk penambahbaikkan supaya ia lebih efektif, pelan ini boleh dipinda," titah baginda.