Wanita hamil 7 bulan selamatkan 4 anak dalam kebakaran

Jamaludin (tengah) melawat rumah Zulhairi selepas berlaku kebakaran sebelum menyampaikan sumbangan di Taman Sri Mewah Simpang Renggam, Kluang, pada Ahad.
Jamaludin (tengah) melawat rumah Zulhairi selepas berlaku kebakaran sebelum menyampaikan sumbangan di Taman Sri Mewah Simpang Renggam, Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Seorang wanita yang sedang hamil tujuh bulan tidak dapat melupakan detik cemas menyelamatkan diri bersama empat anaknya ketika rumah mereka di Taman Sri Mewah Simpang Renggam di sini terbakar pada Sabtu.

Ketika kejadian Intan Faizah M Nor, 36, sedang memandikan seorang daripada anak mereka di bilik air pada jam 9.40 pagi.

Menceritakan kejadian itu, suami mangsa, Zulhairi Mansor, 36, kejadian itu berlaku semasa isterinya membuka pintu bilik dan terlihat kepulan asap keluar dari bawah pintu salah satu bilik di rumah mereka.

"Isteri saya terus bergegas memanggil semua anak kami dan tetapi dalam keadaan cemas itu seorang lagi anak, Muhamad Iffat Irsyad, yang berusia lima tahun tidak menyahut panggilan ibunya.

"Mujur selepas keadaan kecoh, dia tiba-tiba turun dari loteng yang dijadikan bilik dan isteri terus menyuruh semua anak berusia tiga hingga 10 tahun keluar dari rumah," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid pada Ahad.

Hadir sama, Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al Azhar Ahmad Fazil dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang, Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid.

Menurut Zulhairi, isterinya mengambil pemadam api tetapi tidak dapat membukanya kerana terlalu cemas.

Zulhairi yang ketika kejadian keluar membeli sarapan, bersyukur kerana isterinya dan semua anak selamat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, punca kebakaran masih tidak diketahuinya dan bilik yang terbakar itu menempatkan peralatan kerja miliknya termasuk barangan kelengkapan pendawaian elektrik selain mesin jahit milik isterinya.

Dia anggarkan kerugian mencecah RM120,000 kerana hampir 70 peratus rumah berkenaan musnah kecuali sedikit pada bahagian depan.

"Buat sementara saya menumpang di rumah mentua di Kampung Melayu Manong, Ayer Hitam," ujarnya.

Sementara itu, Jamaludin berkata, pihaknya simpati dengan nasib menimpa Zulhairi sekeluarga dan menghargai keprihatinan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta JKM kerana membantu keluarganya.

"MAINJ menyampaikan Bantuan Bencana Kebakaran sebanyak RM2,000 dan JKM pula menghulurkan sebanyak RM300 sumbangan daripada Tabung Bantuan Segera selain makanan.

"JKM juga akan membuat penilaian tambahan kos kerugian sehingga RM2,000 dan sumbangan akan terus dikreditkan ke akaun milik mangsa," katanya.