PM jamin bumiputera terus diperkasa

Ismail Sabri membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri membentangkan RMK12 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa agenda bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, ia seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum lain.

Jelas beliau, hasrat kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan.

“Semua pihak, termasuk pihak kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini,” katanya semasa pembentangan RMK12 pada Isnin.

Menurut beliau, bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif.

Antaranya adalah latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang serta kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya, katanya.

Selain itu, menurut beliau, daya tahan dan kemampanan perniagaan bumiputera akan dipertingkat bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, termasuk Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat bumiputera.

Ia juga disokong melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk kontraktor bumiputera dan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

“Bagi meningkatkan kekayaan bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluas bagi menyokong usahawan bumiputera,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan.

Jelasnya, ia supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

“Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

“Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.

Jelas beliau, dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Katanya, langkah ini bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera.

“Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,” ujarnya.