Tambah baik sistem pendidikan, tangani ketidakpadanan pasaran kerja

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menambah baik sistem pendidikan negara dan menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.

Menurutnya, dalam menjadikan negara berpendapatan tinggi, pembangunan bakat amat penting.

“Bagi menambah baik sistem pendidikan negara, langkah utama yang akan dilaksana adalah pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diperkukuh bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Selain itu, persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah RM1.6 bilion pada tahun 2021 dan 2022,” katanya ketika pembentangan RMK12 pada Isnin.

Tambah beliau, sebanyak empat kompleks sekolah dan lima buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos RM848 juta.

Katanya, program TVET akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET.

Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET juga akan dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga akan pastikan sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel diwujudkan dan kerjasama dengan industri dipertingkat bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri.

“Pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi akan diperkenalkan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan menaik taraf kemudahan beberapa universiti awam, antaranya Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi, menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi.

Selain itu, kerajaan juga akan mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah dan memperkukuh kolaboratif antara industri dan akademia.

Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

Selain itu, tambahnya, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

“Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu,” ujarnya.