Bina Institut Penyakit Berjangkit di Bandar Enstek

Kerajaan akan membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan. Gambar hiasan
Kerajaan akan membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membina Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan institut itu bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit.

"Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.

"Pelan ini juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025.

Tambah beliau, kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK12.

"Selain itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah.

"Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik kesihatan di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan: