Percepat penggunaan teknologi, inovasi

Kerajaan akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi serta menumpukan kepada pendigitalan, teknologi termaju termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Gambar hiasan.
Kerajaan akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi serta menumpukan kepada pendigitalan, teknologi termaju termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi serta menumpukan kepada pendigitalan, teknologi termaju termasuk Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan dan berteknologi tinggi.

“Kita tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Kita juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

“Pada awal tahun ini, kerajaan melancarkan agenda MyDigital dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara. Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara,” katanya ketika pembentangan RMK12 pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan menerajui agenda ini melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Tambah beliau, penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

“Bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta," ujarnya.

Katanya, projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.

“Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau Jendela bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025,” ujarnya.