RMK12: Lebih banyak peluang pekerjaan kemahiran tinggi

Kerajaan akan pastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan dalam RMK12 melalui empat inisiatif yang telah dirangka. - Foto 123RF
Kerajaan akan pastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan dalam RMK12 melalui empat inisiatif yang telah dirangka. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) melalui empat inisiatif yang telah dirangka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat inisiatif itu ialah menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi dan menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi.

Inisiatif lain ialah mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah dan memperkukuhkan kolaborasi antara industri dan akademia.

"Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 juga diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

"Selain itu, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan bagi membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

"Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tambahnya, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja.

Katanya, dalam tempoh jangka panjang, jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja dihadkan kepada tidak melebihi 15 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan berkaitan pekerja asing akan diperkukuh bagi menyokong dasar ini," katanya.