RM2.6 juta bagi pembinaan, baik pulih rumah veteran ATM

Ikhmal Hisham - Foto Bernama
Ikhmal Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi pembinaan baharu dan baik pulih rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara membabitkan nilai sama di setiap negeri.

Timbalan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, kementerian itu menyasarkan sebanyak 28 pembinaan rumah baharu dan 72 rumah untuk dibaik pulih.

Menurutnya, aspek kebajikan kepada veteran ATM amat dititikberatkan sejajar dengan strategik di bawah teras transformasi kesejahteraan veteran ATM.

“Kementerian beriltizam untuk melaksanakan program baik pulih dan rumah baharu bagi membantu veteran yang berpendapatan rendah atau miskin untuk keselesaan mereka

“Jabatan Hal Ehwal Veteran telah dipertanggungjawabkan memperkasa program ini di samping mencari kaedah dan penyelesaian terbaik membantu veteran yang masih belum memiliki rumah sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai perancangan aspek kebajikan khususnya perumahan mampu milik kepada pesara tentera berpencen atau tidak

Mengulas lanjut katanya, skop bantuan perumahan baharu kepada veteran ialah mereka yang tidak memiliki rumah atau mendiami rumah uzur yang tidak selamat diduduki dan tidak boleh dibaiki.

Sementara itu, bagi bantuan baik pulih pula hanya melibatkan komponen asas rumah bumbung, dinding, lantai, tingkap yang tidak melibatkan struktur asas rumah.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, program ini merupakan satu usaha murni kerajaan bagi menghargai penat lelah ATM yang telah banyak berkorban dan berbakti kepada tanah air khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan B40,” ujarnya.

Selain itu, bagi program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) pula, sebanyak 900 rumah yang sedang di bina di Sungai Besi akan dikhaskan kepada veteran dan dijangka siap pada 2024.

“Sehingga kini, jumlah yang diterima permohonan daripada veteran sebanyak 511 dan tiada seorang pun ditolak.

Tambahan lagi menurutnya, terdapat dua lagi program SASaR dirancang dan dilaksanakan dalam masa terdekat melibatkan sebanyak 1,106 rumah dengan nilai harga antara RM150,000 hingga RM400,000.