RMK12: RM400 bilion peruntukan pembangunan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM- Sebanyak RM400 bilion diperuntukkan kerajaan untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan pembangunan pada RMK12 lebih ditumpukan kepada projek sambungan kerana peruntukan yang besar bagi melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021.

“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, ahli Parlimen dan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.

“Oleh itu, peruntukan pembangunan kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan. InsyaALLAH kita menjangkakan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh,” katanya ketika pembentangan RMK12 pada Isnin.

Menurut Ismail Sabri, dalam RMK11, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion bagi tujuan pembangunan.

Jelasnya, ia merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial (26 peratus), keselamatan dan pertahanan (11 peratus), dan pentadbiran am (lima peratus).

Tambah beliau, bagi sektor ekonomi, perbelanjaan terbesar ialah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas.

Artikel Berkaitan:

“Daripada perbelanjaan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu,” ujarnya.

Tambahnya, pandemik Covid-19 telah menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dengan defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

“Jumlah hutang statutori kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK,” katanya.