'Saya bertanggungjawab kekalahan Spurs'

NUNO ESPIRITO SANTO
NUNO ESPIRITO SANTO
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Nuno Espirito Santo mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan kekalahan 1-3 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Ahad.

Menurutnya, ia bukan hari terbaik buat Spurs selain taktikal yang diterapkannya kurang menjadi dalam perlawanan tersebut.

"Persembahan tidak bagus, taktikal dan keputusan juga tidak bagus. Jadi, ia bukan hari terbaik buat kami.

"Secara jujurnya, apabila anda mempunyai taktikal yang bagus maka keputusan untuk dibuat di atas padang juga akan menjadi seterusnya dapat membentuk perlawanan yang bagus.

"Saya mengambil tanggungjawab ini kerana keputusan dan taktikal saya tidak begitu baik. Saya tidak mahu menyalahkan pemain kerana 'game plan' tidak betul dan tidak sesuai dengan pemain di atas padang.

"Kami juga tidak agresif untuk mengawal dinamik Arsenal di bahagian tengah. Kami menderita apabila kami mahu ke hadapan dan membenarkan Arsenal menyerang kami," katanya.

Dalam perlawanan itu, Emile Smith Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka masing-masing meledak satu gol pada separuh masa pertama untuk memastikan kemenangan The Gunners.

Spurs cuba merapatkan kedudukan menerusi Son Heung-min namun ia belum cukup sekali gus menyaksikan pasukan The Lilywhites itu mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan EPL.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah bersedia dengan baik untuk perlawanan ini, namun kami gagal merealisasikannya dalam perlawanan. Kami tidak cukup kuat," kata Nuno.