Warga asing cuba eksport syabu RM1.74 juta ke Indonesia

Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan syabu bernilai RM1.74 juta yang dirampas daripada seorang warga asing yang tidak sempat mengeksport bahan terlarang itu ke Indonesia.
Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan syabu bernilai RM1.74 juta yang dirampas daripada seorang warga asing yang tidak sempat mengeksport bahan terlarang itu ke Indonesia.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi dalang sindiket eksport dadah ke negara jiran tumpas apabila ditahan bersama syabu bernilai RM1.74 juta dalam serbuan di tepi jalan kawasan Bagan Lipas Laut, Rungkup pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 56 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Hilir Perak kira-kira jam12.55 tengah malam ketika memegang dua guni berisi dadah jenis syabu.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membeli dadah seberat 29 kilogram (kg) itu daripada seorang lelaki warga tempatan untuk dihantar ke Indonesia.

"Bahan terlarang itu diseludup menerusi jeti haram dan menggunakan jalan laut, dadah berkenaan diserahkan kepada mereka yang menanti di sempadan perairan negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini pada Isnin.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada lebih 300,000 penagih.

"Polis kini sedang mengesan warga tempatan yang menjadi pembekal kepada suspek berkenaan.

"Ujian urin mendapati suspek negatif dadah dan direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, seramai tujuh individu termasuk sepasang suami isteri berusia 18 hingga 37 tahun ditahan selepas terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Changkat Jong, Teluk Intan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis berjaya merampas 4.6 kg dadah jenis syabu, ganja dan heroin bernilai RM150,640.

"Pasangan suami isteri itu ditahan di sebuah rumah dan pemeriksaan menemukan heroin seberat 4.1 kg dan syabu 0.4 kg bernilai RM150,000.

"Susulan penahanan itu, polis menyerbu tiga lokasi berasingan sebelum menahan lima lelaki. Polis menemui syabu 5.6 gram dan ganja 1.6 gram bernilai RM640," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, polis menyita sebuah motosikal bernilai RM2,000 dan siasatan lanjut mendapati enam suspek positif dadah jenis methamphetamine dan THC.

"Pasangan suami isteri berkenaan direman selama enam hari sehingga Jumaat manakala, lima lelaki terbabit direman empat hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen12(2), dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.