Kim Swee mahu capai keputusan positif malam ini

Kim Swee
Kim Swee
A
A
A

KETUA Jurulatih Sabah FC yang baharu, Datuk Ong Kim Swee ingin mencatat keputusan cemerlang pada tugasan pertamanya dalam saingan Piala Malaysia menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.

Beliau berkata, semua pemain perlu yakin dan bangkit segera daripada belenggu kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super, baru-baru ini.

“Selepas seminggu saya bersama mereka sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan suatu perubahan yang cukup besar dalam waktu terdekat, ini agak mustahil...kita berharap Sabah FC mampu bangkit selepas tewas dalam beberapa perlawanan dalam saingan Liga Super.

“Semua pemain menunjukkan sikap yang cukup positif serta sanggup menerima segala perubahan yang cuba saya lakukan. Ini sudah tentu memberi keyakinan yang amat tinggi bagi membolehkan mereka mempamerkan kualiti sebenar permainan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim Swee berkata, akan berlaku perubahan dalam kesebelasan utama untuk kempen Piala Malaysia, kerana para pemain merupakan pemain-pemain yang cukup matang dan berpengalaman sama ada pemain import ataupun pemain tempatan.

Jelasnya, perubahan daripada segi corak permainan itu diyakini akan mampu diadaptasi oleh anak-anak buahnya untuk mencapai keputusan yang baik, sekali gus berusaha mengembalikan keyakinan para penyokong.

Menurutnya PJ City FC bukan satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan, lebih-lebih lagi mereka mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.

“Dalam rekod perlawanan saingan Liga Super, Sabah FC tewas dua kali kepada PJ City FC, oleh itu harapan saya untuk semua pemain agar mereka membuktikan yang kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan sekali pun.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu saya ingin mendapatkan keputusan yang positif pada perlawanan pertama saya bersama Sabah FC,” katanya. - Bernama