Minta pandangan China bukan bermaksud sudah berpihak

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Malaysia untuk mendapatkan pandangan daripada China mengenai perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) bukan bermaksud negara ini sudah berpihak tetapi lebih bersifat tidak lagi bergantung kepada Barat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keutamaan dalam hubungan antarabangsa ialah melihat sikap negara yang terdekat dan bukan melepasi negara yang jauh merentasi lautan dan benua.

Tambah beliau, Malaysia perlu berhati-hati dengan strategi yang membabitkan AUKUS.

“Langkah ini diambil kerana tidak mahu mengulangi sejarah tanah air yang menjadi pangkalan kepada negara asing yang jauh sebagai medan peperangan, demi keselamatan dan keamanan mereka, bukannya bagi kita (Malaysia) di sini.

“Kita juga jangan lagi mengulangi sejarah perang dunia yang menunjukkan bahawa mangsa dari negara yang menjadi medan berlakunya peperangan itu lebih besar angka korbannya berbanding jumlah korban bala tentera penjajah yang datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu, Malaysia akan mendapatkan pandangan China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pakatan strategik ketenteraan baharu AUKUS.

Menurut beliau, pendekatan itu menjadi keperluan untuk Malaysia mengimbangi dua kuasa besar dunia iaitu antara AUKUS dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Malaysia tidak boleh menjadi perisai pertahanan kepada mana-mana kuasa besar yang sering kali mencari negara untuk membina pangkalan yang jauh dari negaranya semata-mata menjaga keselamatan tanpa mempedulikan terhadap negara yang lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pakatan yang diadakan itu menunjukkan kerakusan pihak terbabit dengan meletakkan seluruh dunia berada di bawah kawalannya sehingga merangkumi ke Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

“Di samping tu, mereka juga membawa segala senjata pemusnah yang akan memusnahkan manusia dan alam sekitar.

“Justeru, negara serantau perlu bergabung tenaga bagi menghadapi cabaran ini sebelum ditimpa padah yang akan menjadi suatu bencana kelak.

“Kerjasama keamanan dan pendamaian perlu diutamakan, bukannya kerjasama yang bertujuan menegangkan keadaan serta memanaskan hubungan antarabangsa sehingga menyebabkan ia terbakar hangus,” katanya.

Abdul Hadi memberitahu, campur tangan kuasa besar di Iraq, Afghanistan dan beberapa negara Afrika sepatutnya menjadi pengajaran untuk Malaysia memahami tujuan sebenar iaitu mahu menjaga kepentingan negara semata-mata.

“Apabila mereka menemui kegagalan, negara yang menjadi pangkalannya ditinggalkan bagi menyelamatkan diri mereka sahaja,” katanya lagi.