X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Kebiasaan baharu jadikan masyarakat celik teknologi

Pakar melihat orang ramai akan lebih banyak bergantung pada aktiviti dalam talian selain kehidupan mereka mungkin lebih terasing berbanding dahulu. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Era kehidupan yang menuntut kita terus berpelitup muka apabila keluar rumah, menjalani ujian Covid-19 dan kuarantin kendiri apabila keadaan memerlukan, seperti yang digariskan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. semakin hampir menjadi kenyataan.

Ini kerana Malaysia merancang untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini iaitu tempoh yang disasarkan bagi kesemua penduduk dewasa yang layak, mewakili 71.6 peratus daripada populasi, telah lengkap divaksinasi. Pada masa itu, hampir kesemua sektor dijangka dibuka semula.

Sekalipun Malaysia akan dibuka semula, kehidupan yang bakal kita lalui tidak akan sama dengan cara hidup yang dijalani sebelum ini. Pandemik Covid-19 meninggalkan kesan bukan sahaja kepada kita tetapi juga cara hidup kita, dan banyak aspek yang kita terima guna semasa mengharungi pandemik itu berkemungkinan besar akan diteruskan.

Bersediakah kita?

“Apa juga perkara, jika kita lakukannya berulang-ulang, selepas satu tempoh perkara itu akan menjadi sebahagian daripada kita,” kata pakar kemasyarakatan, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

“Perkara itu yang sebelum ini merupakan kekangan, bukan lagi kekangan apabila kita sudah terbiasa melakukannya,” tambah beliau.

Cara hidup beralih kepada dalam talian

Pakar juga melihat orang ramai akan lebih banyak bergantung pada aktiviti dalam talian selain kehidupan mereka mungkin lebih terasing berbanding dahulu.

Kebergantungan pada aktiviti dalam talian ini sebahagian besarnya berpunca daripada Covid-19. Banyak aspek kehidupan seperti bekerja, bermain, menunjukkan kasih sayang serta berhimpun dilakukan secara dalam talian, dan pakar berpandangan kebanyakan perkara tersebut tidak akan berubah.

Ahli perniagaan Datuk Andrew Lim berkata Covid-19 mempercepat peralihan ke alam siber berikutan perniagaan perlu mencari jalan untuk kekal bertahan sekalipun premis fizikal terpaksa ditutup semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sekarang mak cik dan pak cik, warga emas kita pun sudah tahu guna (telefon pintar dan lakukan transaksi dalam talian),” katanya.

Menyamakan proses itu dengan ‘retail apocalypse’ (anjakan dalam corak perbelanjaan pengguna) di Amerika Syarikat, beliau menjangka lebih banyak kedai melaksanakan operasi secara hibrid - gabungan kedai fizikal dan jualan dalam talian.

Andrew yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat SOGO, berkata lebih banyak kedai akan bertukar menjadi pusat pemenuhan, di mana majoriti ruang kedai digunakan untuk menyimpan stok bagi penghantaran atau diambil sendiri, sementara bilik pameran atau pusat gaya hidup bagi mengiklankan produk kepada orang ramai hanya diperuntukkan ruang yang kecil.

Katanya, walaupun kompleks beli-belah sudah dibuka semula, jumlah pelanggan yang berkunjung hanyalah kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan yang diterima sebelum ini, dan keadaan itu dijangka tidak berubah sehinggalah pandemik benar-benar berakhir.

“Kalau dahulu kami boleh mencatatkan jualan RM1 juta sehari, sekarang hanya sekitar RM400,000. Orang masih takut,” katanya.

Turut memburukkan lagi masalah ialah ketiadaan sejumlah besar pelanggan lazim iaitu pelancong.

Perniagaan yang memerlukan interaksi bersemuka seperti spa dan salon juga turut menggembleng komponen dalam talian dalam model perniagaan yang membantu mereka bertahan sepanjang PKP.

Wakil Gabungan Industri Salon Kuku Malaysia (MANI) Sandie Lee berkata, mereka terpaksa membuat sedikit penyesuaian bagi pelanggan berikutan salon kini sudah dibenarkan beroperasi semula, namun hanya untuk pelanggan yang lengkap vaksinasi.

“Industri kecantikan dianggap antara industri terpantas menerima guna norma baharu kerana kami telah mengamalkan sesetengah daripada SOP sejak sekian lama seperti nyahkuman dan penggunaan pelitup muka serta sarung tangan,” kata Sandie yang juga pemilik salon.

Perubahan besar dalam perniagaan mereka ialah beralih kepada operasi dalam talian. Memandangkan salon kuku dan spa tidak boleh menerima lebih daripada empat pelanggan pada satu-satu masa, mereka merancang untuk menjual produk kecantikan secara dalam talian yang kemudian akan dihantar kepada pelanggan.

Melabur dalam kesalinghubungan

Peralihan ke dunia dalam talian ini turut dicerminkan dalam cara kerja kita. Syarikat yang merancang untuk membuka semula pejabat masing-masing perlu membuat perubahan bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik dan mencegah jangkitan di tempat kerja.

Pada masa sama, mereka juga melabur dalam infrastruktur yang membolehkan pekerja yang layak bekerja secara terpencil semasa PKP. Mesyuarat yang pada satu ketika dahulu memerlukan pekerja bersesak di dalam ruang sempit, kini dijalankan secara dalam talian.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kemungkinan besar majikan tidak akan kembali kepada amalan prapandemik selepas menerima guna teknologi komunikasi dalam talian.

Katanya, walaupun ada masa interaksi bersemuka diperlukan, mereka dapat melihat faedah interaksi dalam talian terhadap pekerja dan pelanggan mereka.

“Bagi pihak majikan, ini bermakna penjimatan kos yang banyak,” katanya.

“Jika mereka menyewa ruang pejabat, mereka mungkin melaksanakan model hibrid yang pastinya tidak memerlukan banyak ruang. Kami boleh lepaskan ruang-ruang yang tidak perlu dan jimatkan kos sewa,” tambah beliau.

Bagi pekerja pula, faedah termasuk penjimatan masa dalam konteks perjalanan ke pejabat dan menempuh kesesakan trafik, sekali gus dapat meningkatkan tumpuan terhadap kerja, dan ini dicerminkan dalam satu kajian yang dijalankan oleh agensi penyelesaian sumber manusia Ranstad Malaysia baru-baru ini.

Berdasarkan kajian H1 2021 Workmonitor Survey itu, lebih dua pertiga responden di Malaysia gembira untuk terus bekerja dari rumah.

Sehubungan itu, Shamsuddin berkata, kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam penambahbaikan akses Internet untuk seluruh rakyat Malaysia bagi mengelakkan jurang digital terus melebar, selain menyediakan insentif cukai bagi majikan dan pekerja untuk membantu mereka membeli peralatan yang diperlukan.

Beliau juga berkata, kerajaan harus meningkatkan tumpuan terhadap penambahbaikan keselamatan siber. Pada masa ini Malaysia berada di tempat kelima bersama-sama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu daripada 194 negara dalam 2020 Global Cybersecurity Index yang dijalankan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Susulan penurunan keperluan terhadap venue bagi menjalankan persidangan besar, beliau berkata, hotel dan pusat persidangan yang sebelum ini menjadi tuan rumah persidangan, boleh melakukan penyesuaian semula bagi menarik pelanggan baharu.

Bermasyarakat secara maya

Tatkala kita beralih kepada kehidupan dalam talian, hubungan sesama manusia yang terjejas semasa PKP akan lebih terjejas dan keadaan ini mungkin berterusan ketika fasa endemik. Penularan Covid-19 menyebabkan kekangan terhadap hampir kesemua aspek kehidupan kita, sekali gus membantutkan tabiat sosial.

Jika kita kembali bekerja di pejabat sekalipun, tidak semua rakan sekerja akan ada di premis kerana ada had dari segi kapasiti. Kita juga perlu mengekalkan jarak fizikal dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan di tempat kerja dan semasa beriadah.

Bagaimanapun kata pakar, kehidupan yang mungkin lebih terpencil itu tidak bermakna seseorang juga akan lebih kesunyian.

Menurut pakar epidemiologi di Universiti Malaya Profesor Madya Dr Mas Ayu Said, isu kesunyian tidak timbul.

“Saya masih bersembang dengan kawan-kawan sekalipun kami semua berpelitup muka. Kita perlu jaga jarak fizikal tapi dari segi berbual dengan rakan, itu tidak berubah.”

Ini turut dipersetujui Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, yang berkata kebiasaan baharu akan bersebati dengan orang ramai.

“Saya pasti pada masa akan datang, kerajaan tidak akan kata kita perlu pakai pelitup muka, tetapi secara automatik orang akan pakai (untuk elak dijangkiti),” katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai perlu menerima dos vaksin Covid-19 yang lengkap sebelum kembali bergaul dalam masyarakat dan mereka yang enggan divaksinasi harus bersedia untuk dipulaukan termasuk tidak dilayan semasa cuba mendapatkan perkhidmatan.

“Semasa kita lakukan program pemvaksinan ini, ia bukan untuk diri kita sendiri tapi untuk masyarakat. Jika saya tidak divaksinasi bermakna saya tidak membantu komuniti, tidak membantu masyarakat,” tegasnya.

Dr Mas Idayu pula berkata, pemvaksinan perlu dilakukan ke atas seramai mungkin supaya segelintir kecil yang tidak divaksinasi seperti anak-anak kecil, boleh keluar rumah tanpa menerima kesan buruk, agar aktiviti sosial boleh kembali dilakukan walaupun mungkin tidak seperti sebelum ini.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan jangkitan daripada individu yang telah divaksinasi adalah amat jarang, biasanya berlaku selepas 120 hari menerima dos lengkap dan membabitkan hanya 5.3 peratus daripada keseluruhan individu yang telah divaksinasi. Kematian pula kekal rendah iaitu satu kematian bagi setiap 10,000 individu.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat, individu yang divaksinasi hanya boleh menjangkiti orang lain dalam tempoh yang singkat, bermakna jumlah yang dijangkitkan oleh mereka tidak ramai berbanding individu tidak divaksinasi yang boleh menjangkiti orang lain selama sekurang-kurangnya 10 hari selepas gejala muncul.

Dr Mas Idayu yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya, berkata keputusan kerajaan untuk memberikan suntikan penggalak (booster) bagi yang berisiko, sama ada kerana faktor kesihatan atau pekerjaan, akan menangani isu kemerosotan perlindungan dan mengurangkan lagi kadar transmisi.

Menurutnya, kebiasaan baharu akan menuntut masyarakat menggunakan akal dan membuat penilaian tentang keselamatan sesebuah venue sebelum memutuskan untuk terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan.

“Berhati-hati. Jika seseorang didapati batuk teruk, saya rasa anda perlu berhenti (dan) tinggalkan tempat itu,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!