X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

RMK12: Pulihkan negara ketika pandemik Covid-19

A
A

RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, hari ini. Akibat pandemik Covid-19, RMK12 dilihat begitu penting kerana bukan sahaja akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun akan datang, tetapi bagaimana merancang membendung pandemik berkenaan secara berterusan.

Sebelum ini, pembentangan RMK12 telah dipinda sekurang-kurangnya dua kali daripada tarikh asal pada 6 Ogos tahun lepas kepada Januari tahun ini, sebelum akhirnya dibentang pada hari ini. Covid-19 telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara sejak ia mula menular di negara kita sejak Mac tahun lalu. Cara kehidupan kita secara tiba-tiba berubah dengan ketara. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) misalnya telah menyekat pergerakan rakyat sekali gus menyebabkan ramai peniaga terpaksa menamatkan perniagaan dan rakyat kehilangan pendapatan.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, pembentangan RMK12 serta Belanjawan Pembangunan 2022 merupakan tumpuan utama Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi tempoh 100 hari pelantikan beliau sebagai menteri. Harapan rakyat sememangnya tinggi pada pembentangan RMK12 ini. Dengan membawa konsep Keluarga Malaysia, kita berharap Perdana Menteri boleh memberi tumpuan bagaimana memulihkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Bukan itu sahaja, kita turut ingin agar RMK12 menggariskan pelbagai perancangan yang bukan sahaja menitikberatkan pembangunan, tetapi soal keselamatan dan kesihatan terutama dalam usaha membebaskan rakyat daripada ancaman Covid-19.

Soal kebajikan dan kepentingan perlindungan sosial perlu diutamakan termasuk menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada golongan bawahan dan sederhana selain akan membuat penilaian tersusun dalam RMK12 dengan mengambil kira kehendak dan permintaan setiap lapisan masyarakat. Melihatkan penularan kes baharu Covid-19 agak menurun sejak beberapa hari lalu, inilah masanya untuk Ismail Sabri merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi dan RMK12 menjanjikan harapan dan masa depan kepada negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!