X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Kerajaan disaran tambah pemberian peranti PdPR

Gambar hiasan. - Foto 123rf (Gambar kecil, Alimuddin)
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk pemberian peranti kepada murid daripada golongan B40 selain memperbaiki infrastruktur di sekolah bagi keselesaan murid.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, mengambil kira situasi pandemik Covid-19, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijangka tetap diteruskan.

Tambah beliau, sesi kemasukan ke sekolah juga akan dibuat secara bergilir dengan keutamaan diberikan kepada murid yang bakal menduduki peperiksaan.“Jadi saya cadangkan kerajaan menambah bajet untuk pembelian alat peranti khususnya kepada murid daripada keluarga B40.

“Saya difahamkan sekolah akan bermula dengan kelas-kelas peperiksaan dahulu. Justeru kehadiran murid ke sekolah dalam satu-satu masa adalah terhad.

“Murid akan lebih banyak terdedah kepada penggunaan peranti di rumah bagi mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, berkait dengan penggunaan peranti tersebut, capaian kepada akses internet khususnya di kawasan pedalaman dan pulau juga mesti diberikan tumpuan bagi membolehkan murid di kawasan berkenaan dapat mengikuti sesi PdPR dengan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf atau memperbaiki infrastruktur sekolah sedia ada.

“Kita tahu di kawasan bandar besar, pertambahan penduduk di satu-satu tempat sangat pesat. Maka, pertambahan bilik darjah sangat diperlukan,” katanya.

Alimuddin berkata, kerajaan juga wajar memberikan geran tahunan yang lebih banyak kepada sekolah bagi membolehkan guru mempelbagaikan aktiviti tanpa menumpukan kepada peperiksaan semata-mata.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!