Rakyat menaruh harapan tinggi

Gambar hiasan. - Foto 123rf (Dari kiri, Zahari, Azlien, Rubini)
Gambar hiasan. - Foto 123rf (Dari kiri, Zahari, Azlien, Rubini)
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat menaruh harapan tinggi terhadap Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) terutamanya bagi memulihkan ekonomi negara dengan memberi tumpuan kepada usaha menangani kadar kemiskinan, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pegawai Eksekutif, Zahari Hussin, 44, berkata pembentangan RMK12 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini adalah saat yang dinantikan memandangkan kerajaan sekarang dilihat mampu membawa negara keluar daripada masalah yang sedang melanda.

“Besarlah harapan saya agar kerajaan dapat mengatasi masalah kemiskinan dan pengurangan pendapatan. Ramai rakyat yang terkesan dan telah beralih daripada kategori M40 kepada B40.

“Saya juga berharap kerajaan memberi penekanan terhadap perkembangan teknologi dan pendigitalan.

“Pada waktu pandemik ini, teknologi yang lebih baik dapat membantu rakyat bekerja dari rumah, anak-anak mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan urus niaga mampu dibuat dengan lebih mudah dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jonathan Christopher, 24, pula berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan meskipun negara masih dalam fasa pemulihan.

Gambar hiasan. - Foto 123rf (Dari kiri Jonathan, Hafiz)
Gambar hiasan. - Foto 123rf (Dari kiri Jonathan, Hafiz)

“Ramai rakyat mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda sejak tahun lalu dan memberi impak yang sangat besar buat golongan B40. Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Penjawat Awam, Hafiz Jasri, 25, berkata, tempoh wabak yang berlarutan begitu lama menyebabkan perusahaan mikro terjejas teruk, sekali gus memberi kesan dari segi pulangan hasil.

“Kerajaan perlu mengkaji semula sistem sedia ada supaya ia menguntungkan rakyat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak kira melibatkan produk hiliran atau pembekal,” katanya.

Pelajar Universiti Awam, Azlien Anuar, 24, mahu kerajaan memandang serius isu kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi.

“Ia mesti menjadi salah satu fokus utama kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” ujarnya.

Pengamal Media, Rubini Nagarajah, 25, pula berkata, pembentangan RMK12 harus memberi sinar baharu buat semua rakyat Malaysia khususnya berkaitan hak sama rata dalam pendidikan.

“Kesaksamaan patut diberi kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Ia penting untuk melahirkan generasi muda yang berjaya dan berpendidikan,” kata Rubini.