Peluang pekerjaan, skim pencen sosial pulih pendapatan, simpanan rakyat

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mencadangkan peluang pekerjaan dan skim pencen sosial sebagai pendekatan menangani cabaran dalam memulihkan pendapatan serta tahap simpanan rakyat yang dilihat menguncup begitu mendadak.

Ujar beliau, perubahan pendekatan tersebut sesuai dengan matlamat peralihan ke fasa endemik sekali gus membantu jutaan rakyat yang telah terjejas kedudukan kewangan mereka.

“Untuk cabaran jangka pendek iaitu kewangan rakyat untuk hari ini, tiada pengganti lebih baik daripada penyelesaian peluang pekerjaan.

“Selagi pasaran pekerjaan hambar dan pengangguran berlegar sekitar 700,000 hingga satu juta, selagi itu kita terperangkap dengan masalah ini.

“Sama ada skim Job Bank atau apa sahaja usaha lain, saya berpandangan jawapannya ialah ‘jobs, jobs, jobs’,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, cabaran jangka panjang pula melibatkan tindakan berani kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok.

Menurutnya, ada pelbagai pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

“Tetapi saya ingin mencadangkan skim pencen sosial iaitu selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sudah semakin mengecil dan tidak meliputi segenap segmen pekerja, pesara di bawah sesuatu tahap pendapatan diberi kewangan bulanan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak menolak kebarangkalian rasionalisasi program subsidi kerajaan di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan skim pencen sosial yang dibiayai oleh cukai ini berlaku.

“Mungkin ada juga pilihan untuk kerajaan selepas ini menyumbang kepada caruman selain caruman daripada pekerja dan majikan walaupun mungkin tidak dengan nisbah satu: satu dan tidak selamanya,” ujar beliau.