Pekerja swasta rugi RM53,000 ditipu 'pegawai LHDN'

Gambar hiasan. (Gambar kecil, Noorzainy)
Gambar hiasan. (Gambar kecil, Noorzainy)
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja swasta mengalami kerugian RM53,000 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai kerajaan pada 14 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 40 tahun itu ditipu sindiket tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa dirinya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa kononnya ada sebuah syarikat yang didaftarkan atas namanya dan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM32,800.

"Dalam perbualan telefon itu, mangsa telah menafikan dakwaan suspek namun pangilan itu telah disambungkan kepada seorang individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

"Suspek kemudiannya memberitahu mangsa kononnya ada pihak lain yang telah menggunakan butiran peribadinya dan mangsa diminta membuat bayaran bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, mangsa yang panik telah mengikut arahan suspek agar tidak memaklumkan perkara tersebut kepada pihak lain.

"Mangsa juga diminta membuat pembayaran sebanyak RM53,000 ke tiga nombor akaun yang diberikan suspek. Setelah memindahkan wang tersebut, mangsa yang merasa curiga telah menceritakan perkara itu kepada rakannya.

"Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis setelah percaya dia telah ditipu oleh sindiket Macau Scam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.