X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Guru enggan divaksin berdepan risiko pertukaran

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (kanan) meninjau bengkel masakan di Kolej Vokasional Langkawi pada Ahad.
A
A

LANGKAWI - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melihat kepada keperluan tindakan pertukaran ke negeri lain terhadap guru yang enggan menerima vaksinasi di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, beberapa ketetapan telah ditetapkan kepada guru yang enggan divaksin seperti tidak dibenarkan mengajar bersemuka dan ada tugasan lain.

"Bagaimanapun, apabila melihat data ini kita dapati ada sekolah tertentu yang ada guru enggan divaksin mengajar subjek sama dan ada juga satu-satunya guru mata pelajaran berkaitan juga enggan menerima vaksinasi.

"Jadi, sekiranya perkara ini menjejaskan sekolah dan demi kepentingan perkhidmatan dan pelajar, kita sedang melihat bagaimana untuk membawa keluar guru terbabit dan antara jalan penyelesaian adalah dengan pertukaran tempat mengajar," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Kolej Vokasional Langkawi, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, pertukaran tempat mengajar termasuklah melibatkan perpindahan antara negeri berkemungkinan terpaksa diambil bagi menyelesaikan masalah ini dalam memastikan ia tidak menjejaskan sesi pembelajaran.

"Berkaitan tindakan lanjut, kita sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tentang bentuk tindakan bersesuaian yang akan diambil terhadap atas guru-guru ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, bilangan guru yang enggan divaksin di seluruh negara menunjukkan penurunan selepas menerima nasihat dan kaunseling.

"Daripada 2,500 yang enggan menerima vaksinasi, bilangannya kini menurun kepada lebih kurang 2,000 guru sahaja," jelasnya.

Ketika diminta mengulas berhubung vaksinasi remaja, Mohd Radzi memberitahu pihaknya mendapati ibu bapa bersemangat menghantar anak-anak mereka untuk menerima vaksinasi dan tahap penerimaannya juga cukup baik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan permohonan pembukaan sekolah bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, KPM mengemukakan permohonan itu berikutan mereka akan menduduki peperiksaan pada penghujung Oktober ini.

"Pada asalnya, tiada sekolah yang dibenarkan dibuka di negeri Fasa 1 namun kita lihat kebanyakan negeri telah bertukar ke fasa lain kecuali Kedah.

"Bagaimanapun, terdapat pelajar di Kedah yang akan menduduki peperiksaan STPM pada akhir bulan depan," katanya.

Beliau menjelaskan pelajar STPM semester dua berkemungkinan perlu membuat persedian seperti bertemu guru sebelum mengambil peperiksaan nanti.

"Sehubungan itu, kita mohon kepada MKN supaya pelajar ini dibenarkan kembali ke sekolah bagi memberi ruang kepada mereka menyelesaikan topik tertentu," katanya.

Menurutnya, MKN telah meluluskan permohonan ini berdasarkan kepada ketetapan kemasukan pada 10 Oktober nanti.

Mohd Radzi turut memberitahu Langkawi yang berada dibawah projek Gelembung Perlancongan didapati bersedia untuk pembukaan semula sekolah pada 3 Oktober depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!