Penggiat cilik perlumbaan motosikal gegar Batu Tiga

No Image Caption
A
A
A

SERAMAI 23 penggiat cilik perlumbaan motosikal berusia antara enam hingga 12 tahun menyertai program ‘MAM Come & Try’ bersama bekas pelumba Moto2 Zulfahmi Khairuddin’ di Aylezo Speedway, Batu Tiga di sini pada Ahad.

Program anjuran Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bersama Zulfahmi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) itu bertujuan untuk memupuk minat menceburi perlumbaan motosikal dalam kalangan anak-anak muda.

Zulfahmi berkata, peserta program itu tidak semestinya menjadi pelumba profesional, tetapi secara keseluruhannya, program itu bertujuan untuk melatih minat terhadap sukan bermotor, selain diharap mengelakkan mereka terbabit dengan lumba haram.

“Salah satu sebab saya tetapkan had umur kepada enam hingga 12 tahun kerana mereka akan serapkan ilmu perlumbaan motosikal dengan lebih baik pada usia itu, maka mereka akan ingat ilmu tersebut apabila mereka membesar nanti.

“Dari segi perlumbaan motosikal, kita harus berulang kali berlatih menunggang motosikal dan dari situ kita boleh faham teknik dan peraturan dengan lebih baik berbanding kelas teori,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, beliau menyokong penuh acara seperti itu, yang diadakan dengan menitikberatkan keselamatan melalui penyediaan peralatan keselamatan yang diperlukan serta mengambil langkah menjamin keselamatan.

"Dalam usaha menyumbang kepada komuniti, Zulhilmi telah menaja sebanyak enam motosikal buatan Itali iaitu tiga motosikal jenis lumba bernilai RM25,000 setiap satu dan tiga motosikal kecil bernilai RM5,000 setiap satu dan alatan keselamatan seperti topi keledar, sarung tangan serta sut untuk peserta.

"Dalam usaha meyakinkan ibu bapa menghantar anak mereka ke acara ini, kita akan menunjukkan bahawa kita menitikberatkan keselamatan. Kita juga mengambil langkah menjamin keselamatan seperti mengasingkan peserta berpengalaman dan tidak berpengalaman serta mengasingkan jenis motosikal yang digunakan," katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muizz berkata, MAM juga merancang untuk melancar satu acara go-kart di Stadium Shah Alam pada 10 Oktober untuk mereka yang berminat dan memberi platform yang sama dengan perlumbaan motosikal itu. - Bernama