Selangor sasar tanam sejuta pokok dalam tempoh lima tahun

Gunaraj (dua dari kiri), Loy Sian dan Mohamad menanam pokok tekoma di sepanjang Jalan Sungai Jati, di sini pada Ahad.
Gunaraj (dua dari kiri), Loy Sian dan Mohamad menanam pokok tekoma di sepanjang Jalan Sungai Jati, di sini pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor menyasarkan sejuta pokok untuk ditanam di negeri tersebut dalam tempoh lima tahun bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, usaha penambahan pokok di Selangor dapat dilaksanakan menerusi Program PRO500 Trees Sentosa yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.

Beliau turut memuji inisiatif dilaksanakan oleh Gunaraj yang disifatkan seiring dengan hasrat kerajaan Selangor.

“Biasanya aktiviti penanaman pokok dilakukan di taman-taman, hutan bakau, hutan yang rosak kerana ia jarang dilakukan di kawasan bandaraya.

“Kerajaan Selangor berusaha untuk menambahkan bilangan pokok dengan menyasarkan sejuta pokok ditanam dalam masa lima tahun.

“Jadi ini satu usaha yang sangat baik dan diharapkan program ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu.

Artikel Berkaitan:

Loy Sian ketika berucap pada Program PRO500 Trees Sentosa, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, di sini pada Ahad,
Loy Sian ketika berucap pada Program PRO500 Trees Sentosa, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa, di sini pada Ahad,

Dalam pada itu, Gunaraj ketika ditemui pemberita berkata, Program PRO500 Trees Sentosa melibatkan kawasan di Jalan Sungai Jati, Jalan Raja Long, Jalan Bentara dan Jalan Abdul Hamid kerana lokasi tersebut tidak mempunyai pokok yang cukup.

Ujarnya, kerjasama turut diadakan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang banyak membantu dalam melancarkan pelaksanaan program tersebut.

Tambahnya, penanaman pokok bagi program itu juga telah melebihi sasaran dengan 555 batang pokok jenis tekoma dan pokok renek di tanam di kawasan-kawasan terbabit hasil kerjasama daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO).

“Ada kawasan yang tidak sesuai ditanam pokok bersaiz besar, jadi kami tanam pokok yang rendah dan boleh dijaga dengan mudah tanpa mengambil ruang yang banyak.

“Kami memilih untuk menanam pokok tekoma kerana ia mempunyai bunga yang cantik seakan bunga sakura. Fasa kedua program ini akan bermula pada Oktober depan dengan sasaran tanaman 500 pokok di DUN Sentosa,” katanya.