X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Tiga ditahan bantu kes pukul lelaki sehingga mati

Mangsa ditemukan meninggal dunia kerana dipercayai dipukul pada petang Jumaat lalu.
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan tiga lelaki tempatan di tiga lokasi berbeza bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Changkat Minden Heights, Gelugor di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga suspek berusia 41, 45 dan 57 tahun itu ditahan di Air Itam, Jelutong dan Lebuh Pantai di sini.

Katanya, tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang antara jam 5.15 petang hingga 8.30 malam pada Sabtu.

"Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan air kencing (awal) mendapati, seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

"Kesemua mereka ditahan reman selama lima hari sehingga 30 September ini untuk siasatan lanjut. Ketiga-tiganya ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam kejadian 24 September lalu, seorang lelaki ditemukan meninggal dunia oleh orang awam di tepi jalan raya di Changkat Minden Height, Gelugor di sini pada jam 2.30 petang.

Soffian berkata, polis pada mulanya menerima panggilan kononnya berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan seorang mangsa lelaki.

Menurutnya, setelah pegawai polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ke lokasi kejadian mendapati, tiada unsur kemalangan jalan raya ditemui.

Jelas Soffian lagi, mangsa merupakan seorang buruh binaan berusia 52 tahun dikatakan telah bergaduh dengan seorang lelaki di lokasi kejadian.

"Suspek dan mangsa saling mengenali dan mereka selalu lepak bersama di sini sambil minum minuman keras. Menurut saksi, berlaku perselisihan faham yang mengakibatkan kedua-duanya bergaduh.

"Mangsa juga dipercayai telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menyebabkan suspek berang lalu memukulnya sehingga mati. Mangsa ditemui terbaring di sebelah motosikalnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!