X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Tambah baik pengangkutan awam sebelum perketat lesen warga emas

Wan Mahmood Pa'wan Teh
A
A

GOMBAK - Kerajaan perlu menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam sebelum memperketat syarat pengeluaran lesen memandu kepada warga emas berusia 70 tahun dan ke atas.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh berkata, cadangan termasuk mengenakan syarat-syarat khas bagi pemandu warga emas itu adalah langkah yang baik, namun perlu dikaji secara mendalam.

Menurutnya, keputusan itu tidak boleh berasaskan kejadian terpencil sahaja tetapi perlu mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.

"Keputusan juga perlu mengambil kira keadaan pengangkutan awam yang tidak memuaskan terutama di kawasan luar bandar.

"Kami mencadangkan semua pengangkutan awam hendaklah diubah suai menjadi mesra warga emas atau orang kurang upaya (OKU) sebelum syarat pengeluaran lesen warga emas diperketatkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Wan Mahmood berkata, tahap kesihatan dan fizikal yang disahkan doktor sebagai syarat pengeluaran lesen memandu merupakan satu cadangan yang baik.

"Lesen memandu ini perlu diperbaharui setiap tahun dan disertakan dengan surat sijil kelayakan daripada doktor dalam permohonan seperti yang dikenakan bagi lesen memegang senjata api yang dikendalikan oleh pihak polis pada masa ini.

"Bayaran untuk mendapatkan sijil kelayakan ini hendaklah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak membebankan pesara," katanya.

Pada Jumaat, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mencadangkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas dihadkan susulan trend peningkatan kemalangan jalan raya membabitkan golongan berusia.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, menarik balik atau mengehadkan lesen kepada individu berdasarkan umur seharusnya merupakan pilihan terakhir selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi satu ujian yang diiktiraf.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM saran syarat khas baharui lesen memandu warga emas

Tarik balik, hadkan lesen warga emas pilihan terakhir


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!