Maritim tahan 101 kapal, kutip RM2.5 juta kompaun

Nurul Hizam (kanan) menunjukkan kawasan Tompok Utara yang sering diceroboh kapal dagang asing terutama berlabuh tanpa kebenaran, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
Nurul Hizam (kanan) menunjukkan kawasan Tompok Utara yang sering diceroboh kapal dagang asing terutama berlabuh tanpa kebenaran, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan 101 buah kapal atas pelbagai kesalahan dan berjaya mengutip kompaun RM2.5 juta sejak awal tahun hingga kini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, daripada jumlah itu, RM1.3 juta berjaya dikutip menerusi Op Jangkar Haram melibatkan 83 kapal asing yang berlabuh tanpa kebenaran Jabatan Laut Malaysia.

Beliau memberitahu, kes terbaharu adalah pada 24 September lalu membabitkan penahanan dua buah kapal tangki yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan perairan Johor timur.

"Salah sebuah kapal tangki terbabit baru sahaja selesai kes perbicaraan bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

"Kapal yang ditahan itu ialah kapal tangki yang berdaftar di Mongolia dikendalikan lapan kru warga Indonesia berusia 23 hingga 66 tahun ditahan 31 Ogos lalu kerana bersauh tanpa kebenaran dan didenda sebanyak RM50,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Menara Tabung Haji di sini pada Ahad.

Sebuah kapal ditahan Maritim Johor kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi, pada 24 September lalu.
Sebuah kapal ditahan Maritim Johor kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi, pada 24 September lalu.

Katanya, pemindahan itu turut melibatkan sebuah kapal tangki dari Panama yang dikendalikan 25 kru terdiri daripada Indonesia, Ukraine, Georgia dan Rusia berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kapal tangki itu katanya, ditahan pihak maritim hari yang sama kira-kira jam 1.30 petang pada kedudukan 22 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Kota Tinggi.

Selain itu, beliau berkata, dalam Op Jangkar Haram, 36 kes masih dalam siasatan dan proses pertuduhan manakala 47 kes lagi telah dituduh dengan denda dan kompaun kira-kira RM1.3 juta dan sebanyak RM1.7 juta bon jaminan dibayar.

Katanya, kawasan Tompok Utara di Kota Tinggi menjadi tumpuan kegiatan kapal terbabit kerana kedudukannya yang strategik di pintu masuk Timur-Barat perairan negeri selain kedudukan geografinya yang mempunyai kedalaman 60 meter sesuai untuk kapal berlabuh.

Jelasnya, daripada kapal yang ditahan itu, kapal berdaftar dari Singapura paling banyak ditahan iaitu sebanyak 30 buah, diikuti Indonesia (12), Malaysia (sembilan), Greece (lapan) dan Hong Kong (empat).

"Sebelum operasi tersebut dijalankan, lebih 100 buah kapal berlabuh secara haram tanpa mendapat kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

"Antara alasan yang mereka berikan ialah tidak tahu sudah berada di perairan negara dan tak sedar perlu terikat dengan undang-undang di laut di negeri ini. Bagaimanapun, kita tetap mengambil tindakan tegas terhadap kapal berkenaan," katanya.

Maritim Johor melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi, pada 24 September lalu.
Maritim Johor melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal yang melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di kawasan Tompok Utara, Kota Tinggi, pada 24 September lalu.

Jelas beliau, terdapat juga kapal yang enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan hendak dijalankan dan pihaknya terpaksa membuat force boarding supaya pemeriksaan dapat dilakukan.

Tambah beliau, Op Jangkar Haram itu ternyata berkesan kerana sejak dilancarkan telah mencatatkan 98 peratus penurunan kes terutama di kawasan Tompok Utara dan operasi tersebut akan diteruskan hingga pematuhan mencapai 100 peratus.