Tiada kes baharu difteria di Johor

Sahruddin melawat booth agensi selepas merasmikan hari bertemu pelanggan tersebut.
Sahruddin melawat booth agensi selepas merasmikan hari bertemu pelanggan tersebut.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada kes baharu penyakit berjangkit difteria dilaporkan di Johor, sehingga ke hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar Dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, sehingga minggu lalu, hanya tinggal seorang sahaja masih berada di hospital.

Menurutnya, sebelum ini, lima pesakit telah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan pemantauan, namun empat daripadanya sudah dibenarkan pulang.

"Hingga ke minggu lepas, hanya tinggal seorang sahaja yang di hospital. Tiada lagi kes-kes baru yang dikesan," katanya kepada pemberita pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan Jabatan dan Agensi di bawah Portfolio Pertanian Johor di MARDI Johor di sini hari ini.

Sahruddin berkata, pesakit yang masih berada di hospital adalah kakak kepada kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat dijangkiti difteria, bulan lalu.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil jika terdapat kes sama pada masa akan datang, Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan bertindak mengkuarantin dahulu pesakit yang disyaki dijangkiti difteria.

ARTIKEL BERKAITAN:

5 kanak-kanak positif difteria di Johor

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi kes difteria disahkan di Johor

"Selepas itu, kita akan siasat di mana ada 'contact' kepada pesakit. Jika ramai, di kawasan itu pun akan dikuarantin juga, kebetulan kes yang ada di Johor (baru-baru ini), ia berada di pusat jagaan kanak-kanak, dan diberitahu bahawa kanak-kanak itu tidak ada pergi ke luar.

"Jadi memang kawasan yang terasing, mudah untuk kita kawal. Semua (contact) kita kuarantin, Bila kita sudah kuarantin, insya-ALLAH ia tidak akan merebak," katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu peka, faham dan tahu betapa pentingnya untuk setiap kanak-kanak diimunisasi, kerana penyakit seperti difteria boleh dicegah.

Selain itu, Sahruddin menasihatkan pengusaha taska atau pusat jagaan supaya peka dengan melihat rekod imunisasi kanak-kanak sebelum mendaftar masuk ke premis masing-masing.