KPDNHEP tawar bantuan paten inovasi Maryam

Maryam mengharumkan nama negara selepas inovasinya menghasilkan makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut memenangi anugerah antarabangsa. Gambar kanan: Alexander Nanta Linggi
Maryam mengharumkan nama negara selepas inovasinya menghasilkan makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut memenangi anugerah antarabangsa. Gambar kanan: Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menawarkan bantuan untuk mempatenkan hasil inovasi Maryam Muzamir, 11, yang menghasilkan YAM 2.0 iaitu makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasrat itu dikemukakan melalui agensi di bawah kementerian iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Pihak MyIPO telah berhubung dengan bapa pelajar terbabit minggu lepas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi yang dihasilkan anaknya.

“Pihak MyIPO akan membantu untuk proses pemfailan paten bagi inovasi yang dihasilkan Maryam bagi memastikan inovasi beliau dilindungi.

“Usaha mempatenkan hasil inovasi seperti ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Maryam yang merupakan murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) di Toronto, Kanada bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid 11 tahun cipta makanan haiwan, menang anugerah antarabangsa

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pemfailan paten juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi yang lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

“KPDNHEP juga meminta pencipta-pencipta yang telah menghasilkan ciptaan dan inovasi dalam pelbagai bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka sama ada pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif.

“KPDNHEP sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada adik Maryam dan semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain untuk mengembangkan kreativiti dalam menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu,” katanya.