PPRN bernilai RM60,000 untuk pencucian solar panel

Dr Noraini (kiri) sedang diberi penerangan mengenai projek tersebut selepas penyerahan surat pelaksanaan PPRN kepada syarikat dan USM, pada Ahad.
Dr Noraini (kiri) sedang diberi penerangan mengenai projek tersebut selepas penyerahan surat pelaksanaan PPRN kepada syarikat dan USM, pada Ahad.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyerahkan surat pelaksanaan bagi Projek Public Private Research Network (PPRN) bernilai RM60,000 kepada sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menjayakan projek Customized Semi-Automated IoT-based Portable Solar Panel Cleaning.

Projek Customized Semi-Automated IoT-based Portable Solar Panel Cleaning merupakan proses pencucian solar panel yang sebelum ini dilakukan secara manual.

Menterinya, Datuk Seri Dr Norani Ahmad berkata, surat pelaksanaan PPRN itu diserahkan kepada syarikat Voltake Energy Services Sdn Bhd yang bekerjasama dengan USM dalam menjayakan projek berkenaan.

Menurutnya, jumlah dana sebanyak RM60,000 yang diperuntukkan itu adalah untuk tempoh projek selama 12 bulan.

“Projek yang diketuai oleh penyelidik USM, Profesor Madya Dr Mohamad Aizat Abas ini diharap dapat menyediakan sistem bagi meningkatkan kadar pencucian solar panel yang dimiliki oleh syarikat.

“Buat masa ini, proses pencucian solar panel dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lama serta tidak kos efektif terhadap penggunaan tenaga kerja,” katanya pada majlis penyerahan surat pemakluman pelaksanaan PPRN kepada syarikat tersebut di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pembangunan sistem itu adalah bertepatan dengan objektif PPRN iaitu, inisiatif inovatif yang mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia untuk meningkatkan produktiviti.

"Selain itu, ia bagi mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui program inovasi yang berpacukan permintaan. Ia menjadi harapan KPT supaya selepas berakhirnya projek ini pada tahun hadapan, prototaip ataupun peralatan pencucian panel solar ini mampu dikomersialkan dalam skala yang besar suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin juga satu hari nanti, kita mampu melihat syarikat Voltake Energy Services Sdn Bhd ini dapat membangunkan sendiri prototaip atau peralatan pencucian tersebut.

"Kita juga berharap syarikat ini juga boleh memberi peluang kepada pelajar-pelajar USM untuk melakukan latihan industri di syarikat ini, seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, USM telah berjaya memperolehi tiga geran PPRN dengan dua projek lagi melibatkan pembangunan sistem dalam mengautomasikan proses kerja di syarikat terbabit pada tahun ini.

“Oleh demikian, dengan pemberian geran PPRN ini kepada pihak syarikat dan USM, ia diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri lain untuk turut sama memohon geran PPRN pada tahun hadapan.

"Kita juga berharap agar ia boleh merancakkan semula ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan universiti,” katanya.