X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

KASA komited jadikan Malaysia hab air serantau menjelang 2040

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

REMBAU - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Unit Perancang Ekonomi merangka Pelan Transformasi Sektor Air 2040 dalam intipati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk menjadikan sektor air sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang 2040.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian itu juga komited dalam memastikan kecukupan sumber air dan jaminan bekalan air bersih kepada seluruh rakyat di negara ini menerusi Pelan Transformasi Sektor Air 2040.

Menurutnya, sebanyak 2,986 lembangan sungai di seluruh negara merupakan sumber bekalan air bersih untuk kegunaan rakyat di negara ini dengan purata taburan hujan tahunan yang melebihi 2,000 milimeter (mm), antara tertinggi di dunia yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Susulan itu banyak projek infrastruktur air sedang dilaksanakan dan dirancang dengan teliti seperti Projek Grid Air Kebangsaan, Projek Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil, Projek Takungan Air Pinggiran Sungai, Projek Naik Taraf Empangan, Projek Rancangan Tebatan Banjir dan Projek Pemuliharaan Pantai di seluruh negara.

"KASA menerusi Unit Perancang Ekonomi dan Akademi Sains Malaysia sedang merangka model pembiayaan alternatif sektor air untuk dilaksanakan di bawah agenda Transformasi Sektor Air 2040.

"Setakat ini, projek infrastruktur air sangat bergantung kepada pembiayaan awam sama ada dibiayai secara pinjaman atau pemberian geran. Justeru, mengambil kira sumber kewangan yang terhad, projek dijalankan mengikut keutamaan dan keperluan semasa oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di Sungai Rembau di sini pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, beberapa cadangan dipertimbangkan antaranya land-swap wakaf, sukuk, wakaf sukuk serta anuiti hibrid dan kementerian juga telah merintis projek pendanaan awam iaitu Wakaf Air yang dilancarkan hujung tahun lepas bagi membiayai projek infrastruktur air berskala kecil, segera dan tidak melebihi RM50,000 di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, dana Wakaf Air dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia telah mencecah RM3 juta dan sebanyak enam buah projek dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM244 ribu dapat memanfaatkan hampir 3,000 orang.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu bersedia dalam memperuntukkan sejumlah perbelanjaan besar bagi mitigasi risiko dan menyediakan infrastruktur sumber air bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Sementara itu, beliau berkata, KASA sedang menyusun dasar, strategi dan pelan tindakan yang komprehensif bagi menyelesaikan masalah seperti kejadian kepala air dan banjir lumpur di daerah Kuala Muda dan Yan di Kedah baru-baru ini, serta gangguan bekalan air tidak berjadual dihadapi rakyat disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang melakukan pencemaran sungai.

Tuan Ibrahim menyeru pihak berkuasa megeri mengaplikasi Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dibangunkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai satu rujukan asas dalam perancangan pembangunan guna tanah khususnya di kawasan lembangan sungai dan sumber air.

"Semua pihak berkepentingan perlu merujuk Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) yang telah digubal oleh JPS. Semua agensi penguatkuasaan mesti bertindak dengan tegas, tanpa rasa takut dan memihak terhadap penjenayah alam sekitar yang mencemarkan sumber air dan sungai," katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengukuhkan lagi sinergi dalam menguruskan sumber air, sungai dan bekalan air secara lestari di negara ini.

Mengenai sambutan Hari Sungai Sedunia 2021, tema Alur Air dalam Komuniti dipilih bagi menekankan aspek inklusif dan kebersamaan komuniti setempat dalam penjagaan sungai. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!