Bomba perluas pengambilan pegawai PBB SWART tahun depan

Abdul Wahab (dua, kanan) melakukan pemeriksaan jaket keselamatan ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, pada Ahad. Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid (kiri). - Foto Bernama
Abdul Wahab (dua, kanan) melakukan pemeriksaan jaket keselamatan ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, pada Ahad. Turut hadir Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperluaskan pengambilan Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) ke empat negeri yang berisiko dilanda banjir besar pada musim tengkujuh dan mempunyai kadar kes lemas yang tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, proses pengambilan yang tertangguh ekoran pandemik Covid-19 itu, dijangka diadakan semula tahun hadapan melibatkan Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Buat masa ini penubuhan PBB SWART hanya melibatkan Kelantan iaitu di Pantai Tok Bali dan Terengganu iaitu di kawasan pantai di Kuala Nerus serta Dungun.

“Kedua-dua negeri mempunyai 12 pegawai PBB SWART dan negeri-negeri ini dipilih kerana mencatatkan angka kematian tertinggi kes mati lemas,” katanya kepada pemberita di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, di Wakaf Tapai di sini pada Ahad.

Abdul Wahab berkata, pelantikan pegawai PBB SWART melibatkan proses temu duga serta latihan asas dan mereka yang terpilih akan menerima elaun mengikut jam.

Katanya, anggota pasukan itu berperanan memberi teguran atau amaran kepada pengunjung pantai dan kawasan rekreasi, sekiranya berlaku keadaan ombak besar.

Pasukan yang ditubuhkan sejak November tahun lepas itu juga bertanggungjawab mengingatkan penduduk sekiranya sesuatu lokasi itu dikenal pasti zon bahaya pada musim tengkujuh, katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Wahab berkata, pihak bomba telah mengenal pasti 17 lokasi di seluruh negara membabitkan pantai, air terjun, tasik dan lombong, yang berisiko berlakunya fenomena kepala air dan ombak besar yang boleh meragut nyawa.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan masyarakat supaya tidak alpa meskipun diberi kebenaran melakukan aktiviti riadah di pusat-pusat rekreasi dan sentiasa menjaga keselamatan diri serta keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. - Bernama