Lelaki guna nombor pendaftaran palsu ditahan

Lelaki yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan pada Ahad. Antara motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan.
Lelaki yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan pada Ahad. Antara motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan.
A
A
A

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Pusat Bandar Nilai pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, remaja berusia 21 tahun itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 108 (3) (f) APJ 1987, iaitu mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kenderaannya.

Beliau berkata, operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai itu bermula pada jam 11 malam hingga 3 pagi membabitkan 22 anggota termasuk dua pegawai.

"Kita berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang telah dilakukan pemilik kenderaan termasuk pengubahsuaian ekzos dan mengubah suai struktur kenderaan tanpa kebenaran.

"Sebanyak 106 saman telah dikeluarkan bagi 108 kesalahan sepanjang operasi dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Fazley berkata, sebanyak 130 kenderaan telah diperiksa dengan 23 daripada jumlah itu telah ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 15 motosikal telah disita dan polis khususnya Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan terus menjalankan operasi seperti ini masa ke masa, dalam usaha membendung kegiatan samseng jalanan yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam," jelasnya.

Artikel Berkaitan: