Perak tidak mahu tergesa-gesa buka Pulau Pangkor

Pembukaan Pulau Pangkor kepada pelancong bergantung kepada keberkesanan program gelembung pelancongan di Langkawi. - Foto Bernama
Pembukaan Pulau Pangkor kepada pelancong bergantung kepada keberkesanan program gelembung pelancongan di Langkawi. - Foto Bernama
A
A
A

MANJUNG - Perak tidak akan tergesa-gesa membuka Pulau Pangkor kepada pelancong bagi program gelembung pelancongan yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan melihat keberkesanan projek rintis bagi program itu yang dilaksanakan ketika ini di Langkawi.

"Kalau Langkawi ini ok, tiada kes baharu Covid-19, maka tentu kerajaan akan membenarkan pusat-pusat pelancongan ini dibuka termasuklah Pangkor.

"Kita tak mahu tergesa-gesa walaupun tahu permintaan tinggi, kita bersabar seminggu sahaja lagi. Tengok apa berlaku di Langkawi itu dulu. Lepas itu kita akan bermesyuarat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A di sini pada Ahad.

Saarani berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira soal keselamatan penduduk setempat, peniaga dan nelayan.

Menurutnya, laluan masuk utama ke Pulau Pangkor hanya melalui perkhidmatan feri dan tiada penerbangan terus ke sana.

"Pelancong akan berkumpul di jeti dan sekali gus memberi kesan jika keadaan itu tidak ditangani dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui bimbang jika faktor keselamatan tidak diambil kira jangkitan baharu boleh berlaku sekali gus akan menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan bukan sahaja di Pulau Pangkor tetapi di seluruh Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika dibenarkan kelak, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi program gelembung pelancongan itu akan diikuti sepenuhnya.

"Selain Pulau Pangkor, beberapa destinasi pelancongan lain di negeri ini turut akan dipertimbangkan untuk mengikuti program gelembung pelancongan berkenaan," katanya.