Kes baharu Covid-19 turun lagi kepada 13,104

Sebanyak 13,104 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad.
Sebanyak 13,104 kes positif baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 terus mencatatkan penurunan kepada 13,104 kes pada Ahad sekali gus merekodkan pengurangan dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negara kini kepada 2,198,235 kes.

"Hanya lima negeri masih mencatatkan jangkitan pada empat angka membabitkan Sarawak yang kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,843 kes diikuti Selangor (1,558), Johor (1,455) dan Kelantan (1,206) dan Sabah (1,078).

"Ia diikuti Perak mencatatkan 994 kes, Pulau Pinang (955), Kedah (721), Pahang (604), Terengganu (685), Melaka (362), Kuala Lumpur (270) dan Negeri Sembilan (165)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, Perlis pula merekodkan 80 kes, Putrajaya (24) dan Labuan (empat).

Malaysia mencatatkan 13,899 kes pada Sabtu dan ia berkurang berbanding 14,554 kes pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu, lapan adalah kes import dan 13,096 kes tempatan.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 1,058 kes (850 kes disahkan Covid-19; 208 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Artikel Berkaitan:

"Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 580 kes (365 kes disahkan Covid-19; 215 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan)," katanya.

Menurut beliau, jumlah kes sembuh yang direkodkan pula adalah 20,971 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh 1,989,512 kes kumulatif atau 90.5 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kluster yang direkodkan sehingga kini berjumlah 5,413 kluster dengan 12 kluster baharu.

"Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 4,228 kluster dan kluster aktif berjumlah 1,185 kluster," katanya.

Menurut beliau, daripada kes harian yang dilaporkan itu juga sebanyak 201 kes atau 1.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 12,903 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.