Klopp puji aksi hebat Brentford

Salah melepasi pemain Brentford, Vitaly Janelt pada perlawanan berkenaan. - Foto Gettyimages
Salah melepasi pemain Brentford, Vitaly Janelt pada perlawanan berkenaan. - Foto Gettyimages
A
A
A

BIARPUN terikat 3-3 ketika berdepan Brentford di Stadium Komuniti Brentford pada Ahad, pengendali Liverpool Jurgen Klopp tetap memberikan pujian atas aksi hebat yang dipamerkan tuan rumah.

Menurut Klopp, The Bees telah mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan bagi mengikat The Reds dan seterusya memastikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

“Mereka (Brentford), berhak mendapat tiga jaringan dan memastikan seri ketika berdepan kami berdasarkan corak permainan yang dipamerkan.

“Corak hantaran jauh (long ball) daripada mereka juga seringkali memerangkap kami dan pada masa sama mereka juga berjaya mengekang penyerang kami daripada menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Liverpool dikejutkan dengan jaringan pendahuluan tuan rumah menerusi Ethan Pinnock pada minit ke-27, sebelum penyerang, Diogo Jota menyamakan kedudukan pada minit ke-31 dan diikuti kedua yang juga merupakan jaringan ke-100 penyerang sensasi, Mohamed Salah sepanjang 151 penampilannya bersama The Reds.

Pemain Brentford Vitaly Janelt kemudiannya menjaringkan gol kedua pada minit ke-63 sebelum Curtis Jones kembali meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-67.

Bagaimanapun, hasrat Liverpool untuk mempertahankan kedudukan 3-2 tersebut sehingga tamat permainan tidak kesampaian apabila pemain gantian Brentford, Yoane Wissa mengikat kedudukan dengan gol ketiga pada minit ke-82.

Keputusan tersebut menyaksikan Liverpool kini mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 14 mata manakala Brentfored berada pada kedudukan kesembilan dengan sembilan mata setelah masing-masing mengharungi enam perlawanan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Klopp turut mengakui perlawanan berkenaan agak mendebarkannya berdasarkan kepada aksi yang dipamerkan Brentford.

Malah katanya, pada perlawanan berkenaan pemain-pemain The Bees turut mempamerkan banyak aksi-aksi berkualiti.

“Secara keseluruhan, saya menyifatkan mereka memang berhak mencatatkan keputusan seri kali ini kerana terbukti mereka bukannya pasukan yang mudah untuk ditewaskan,” kata beliau.