192,541 usahawan terima pinjaman mudah MEDAC


Noh menyerahkan replika cek kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit (kanan) sebagai simbolik sumbangan kepada 168 usahawan terjejas akibat tragedi kepala air.
Noh menyerahkan replika cek kepada Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit (kanan) sebagai simbolik sumbangan kepada 168 usahawan terjejas akibat tragedi kepala air.
A
A
A

YAN - Seramai 192,541 usahawan terjejas akibat Covid-19 akan menerima pinjaman mudah daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi membantu kelansungan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kemudahan itu ditawarkan dalam tempoh 100 hari bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sekali gus membangunkan semula aktiviti perniagaan berikutan pembukaan semula sektor berkenaan secara berperingkat sebagaimana diumumkan kerajaan.

Menurutnya, pinjaman mudah tanpa semakan Data System Sdn Bhd (CTOS) itu terbuka kepada semua kategori usahawan termasuk peniaga kecil yang tidak mempunyai syarikat, usahawan mikro mahupun industri kecil dan sederhana.

"Begitu juga dengan sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), kita akan semak sedikit sahaja iaitu tarikh yang direkodkan sama ada sebelum atau selepas pendemik, sekiranya selepas pandemik maka kita akan mudahkan pemberian pinjaman untuk usahawan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan kepada usahawan dan keluarga terjejas akibat tragedi kepala air Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu di Masjid Jamek Badlishah, Yan, Kedah pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pinjaman mudah itu akan diselaraskan mengikut 11 agensi bawah MEDAC berdasarkan jumlah pinjaman yang dipohon peniaga.

Salah seorang penduduk terjejas tragedi kepala air menerima sumbangan wang tunai daripada Noh di Masjid Jamek Badlishah Yan pada Ahad.
Salah seorang penduduk terjejas tragedi kepala air menerima sumbangan wang tunai daripada Noh di Masjid Jamek Badlishah Yan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membolehkan pinjaman sehingga RM50,000, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional dengan nilai pinjaman bermula RM50,000 hingga RM100,000, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) RM100,000 hingga RM10 juta dan SME Bank boleh pinjam lebih RM10 juta," jelasnya.

Pada program tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM168,000 kepada 168 orang usahawan, RM40,000 kepada 200 keluarga dan RM25,000 kepada lima buah sekolah yang turut terjejas akibat tragedi itu.

Sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat membabitkan keluarga terpilih dari Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Setol, Kampung Titi Bakong, Kampung Pantai Murni, Kampung Permatang Chengai dan Kampung Telok Mat Acheh.

Lima buah sekolah yang terjejas termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina York Koon, Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam dan Maahad Tahfiz Al-Fityan turut menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurut Noh, inisiatif itu mencerminkan komitmen MEDAC menerusi agensi di bawahnya dalam memainkan peranan membantu usahawan dan mangsa terjejas berikutan kerosakan yang dihadapi akibat tragedi dengan menyalurkan bantuan kewangan.