X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Laluan khas 13km sepanjang Sungai Bunus siap akhir tahun depan

Mahadi bersama wakil Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom membersihkan kawasan persekitaran ketika Program Plogging di Sungai Bunus sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kemudahan laluan basikal dan pejalan kaki sejauh 13 kilometer (km) sepanjang Sungai Bunus dari Seksyen Satu Wangsa Maju hingga ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, penyediaan laluan khas itu kini pada tahap 50 peratus siap dengan laluan sepanjang lima km dari Seksyen Satu Wangsa Maju ke Taman Sri Rampai sudah boleh dilalui pengguna basikal dan pejalan kaki.

“Lepas itu ada sedikit ‘missing link’ dan dekat sekitar Ayer Panas sudah ada (laluan)... kemudian kita sambung laluan itu lagi di tepi Jalan Semarak dan lalu di tepi perumahan Gurney terus ke Sungai Bunus di sini yang juga menghubungkan Taman Tasik Titiwangsa.

“Dari Taman Tasik Titiwangsa pula akan melintasi Jalan Tun Razak dan lalu di tepi rizab sungai bersebelahan Institut Jantung Negara sebelum kita berada di Kampung Baru yang sudah ada laluan khas yang boleh digunakan, sebelum berakhir di KLCC melalui lintasan Saloma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di program plogging @ Sungai Bunus bersempena Sambutan Hari Sungai Sedunia di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL) di sini pada Ahad.

Mengenai program itu, Mahadi berkata, budaya plogging yang berasal daripada Sweden boleh dijadikan satu amalan warga kota ketika berjoging untuk menjadikan sesuatu kawasan rekreasi atau taman menjadi lebih bersih dan selamat.

Menurutnya, 64 kilogram sisa sampah berjaya dikumpul semasa aktiviti plogging pada Ahad yang melibatkan jarak lebih dua km di sekitar Kolam Takungan Banjir Sunai Bunus. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!