Perlis belum bersedia ke Fasa Empat PPN: Exco

Perlis masih belum dapat beralih kepada Fasa Empat PPN memandangkan ketika ini penggunaan katil di ICU di negeri ini masih agak tinggi.
Perlis masih belum dapat beralih kepada Fasa Empat PPN memandangkan ketika ini penggunaan katil di ICU di negeri ini masih agak tinggi.
A
A
A

KANGAR - Perlis masih belum dapat beralih kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan ketika ini penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di negeri ini masih agak tinggi.

Exco Kesihatan negeri, Teh Chai Aan berkata, bagi membolehkan Perlis beralih dari Fasa Tiga PPN ke fasa berikutnya, tiga indikator yang perlu ada ialah kadar vaksinasi dewasa, penggunaan katil ICU dan jumlah kes positif Covid-19.

“Ketika ini, penggunaan katil di ICU hospital agak tinggi sedikit, namun ia dijangka akan berkurangan dalam masa terdekat, bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 di negeri ini,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, peringkat negeri di Taman Sakura, Tebing Tinggi di sini pada Ahad.

Sebanyak 10,000 anak ikan lampam dan lebih 4,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Perlis selain aktiviti penanaman 50 pokok sumbangan Jabatan Perikanan Perlis dan Jabatan Perhutanan Perlis.

Berdasarkan statistik data dari laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my/bm/pls/ hari ini, Perlis telah mencapai kadar vaksinasi dewasa lengkap dua dos berjumlah 88.6 peratus setakat ini, namun penggunaan katil di hospital termasuk ICU adalah terhad, dengan jangkitan Covid-19 pada Sabtu mencatatkan 17 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Perlis kini menjangkau 3,566 kes.

Chai Aan seterusnya meminta orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi membolehkan Perlis terus beralih ke fasa empat dengan segera selepas ini bagi membolehkan pelbagai aktiviti serta ekonomi dapat diperluaskan dan dibuka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis, Ir Asnol Adzhan Abd Manap berkata, 11 sungai yang utama di negeri ini berada pada tahap yang optimum dan baik serta dikawal rapi oleh JPS negeri seperti Sungai Perlis, Sungai Jernih dan Sungai Ngulang.

Katanya, tiada kes pencemaran sungai dilaporkan berlaku di Perlis setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: