Jawatankuasa sedia ada memadai laksana fungsi MPN: Saarani

Saarani (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa bencana ribut selepas mengadakan lawatan ke kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A, pada Ahad.
Saarani (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa bencana ribut selepas mengadakan lawatan ke kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A, pada Ahad.
A
A
A

MANJUNG - Kerajaan negeri Perak menyifatkan jawatankuasa tindakan sedia ada sudah memadai bagi menjalankan fungsi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dicadangkan untuk ditubuhkan di peringkat daerah dan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penubuhan MPN di peringkat negeri dan daerah akan melibatkan ketua-ketua jabatan yang sama dalam jawatankuasa berkenaan.

Beliau mencadangkan agar jawatankuasa tersebut diperkasakan dengan mekanisme sedia ada agar perkara berkaitan pemulihan itu dapat dibincangkan.

"Cadangan bagus, tapi pelaksanaan itu saya tak pastilah. Kalau peringkat daerah memang pegawai daerah mempengerusikan mesyuarat tindakan daerah. Dalam jawatankuasa tindakan daerah itu membincangkan semua perkara yang berkaitan dengan cadangan pembangunan semua masalah dibincangkan dalam itu.

"Malah, Perak sekarang kita dah benarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk sertai jawatankuasa tindakan daerah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan terjejas ribut di daerah Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada lawatan itu, Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Saarani berkata, penubuhan MPN di peringkat negeri dan daerah tiada masalah untuk diwujudkan asalkan tidak melibatkan mekanisme baharu memandang pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa tindakan sedia ada.

Pada Sabtu, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan penubuhan MPN di peringkat negeri dan daerah supaya Pelan Pemulihan Negara (PPN) di peringkat akar umbi dapat dilakukan lebih berkesan dan pantas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cadangan itu juga diharap dapat memudahkan usaha MPN selain merancakkan lagi peranannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cadang tubuh MPN peringkat negeri, daerah: Muhyiddin