3.6 juta penerima BPR terima bayaran mulai Selasa

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa Tiga dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 28 September secara berperingkat melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

Menurutnya, bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

“Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak dan akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

Jelasnya, penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa Tiga ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.