Setiap parti perlu berkorban untuk menang PRU15: Pas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

REMBAU - Setiap parti politik perlu berkorban bagi mencapai agenda kemenangan yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertelagahan dalam politik tidak akan membawa kepada kejayaan, sebaliknya akan merugikan banyak pihak.

Menurutnya, Pas telah membuat keputusan untuk bersama ketiga-tiga parti (UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas) menjelang PRU15 nanti.

"Kita tidak boleh buat satu keputusan yang boleh merugikan semua orang. Kita kena lihat dalam kerangka besar, dalam sesetengah negeri Muafakat Nasional (Pas-UMNO) sudah cukup, tetapi di negeri lain pula ada risiko besar kalau bertanding tiga penjuru.

"Kita kena lihat semua ini, sekarang kita nampak ummah sudah seronok dengan penyatuan membabitkan tiga parti utama yang menerajui kerajaan sekarang termasuk parti komponen di Sabah Sarawak.

"Bagi saya setiap orang perlu ada pengorbanan untuk mencapai matlamat yang lebih besar, konsep saya mudah sahaja yang ada jangan kedekut yang meminta jangan tamak, ini supaya kita boleh berkompromi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau pada Ahad.

Tuan Ibrahim berkata, hubungan Pas bersama UMNO masih kekal baik, begitu juga antara Pas dan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pas dengan UMNO masih mempunyai hubungan dan mesyuarat MN juga masih berjalan.

"Kita ada banyak pengalaman dalam gabungan bersama parti lain, kalau dulu Pas pernah bersama Parti Negara dan juga pernah berada bersama DAP dan kali ini kita berpendapat, sudah sampai masanya untuk kita terus kekal bersama (Pas,UMNO dan Bersatu), pertelagahan politik tidak akan selesaikan apa-apa.

"Rakyat juga mula nampak hala tuju PRU15 dengan penyatuan ummah ini, ketiga-tiga parti besar perlu ada untuk mencapai kejayaan yang lebih besar, pengorbanan itu dituntut dalam politik demi kemenangan bersama," katanya.

Media melaporkan, UMNO sebelum ini meminta supaya Pas membuat pilihan sama ada mahu bersama MN ataupun Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 termasuk di peringkat Dewan Undangan Negeri.

"Terpulang kepada Pas untuk memutuskan sama ada mahu dengan MN ataupun PN, tetapi janganlah buat keputusan lambat sangat, (jangan) selepas Parlimen dibubarkan baru nak buat keputusan, kalau anda mahu bersama kami, beritahu kami sekarang,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.