X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Polis tahan 18 individu, sita 22 motosikal

Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara pada malam Sabtu.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 18 individu atas pelbagai kesalahan dan menyita 22 motosikal dalam Operasi (Op) Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara pada malam Sabtu.

Operasi bermula jam 9 malam hingga jam 4 pagi itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Bangsar dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang disertai empat pegawai kanan dan 45 anggota.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam Op Motosikal di Jalan Pahang, dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan kerana memiliki 1.7 gram dadah jenis syabu.

Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

"Kedua-duanya akan dituduh mengikut Seksyen 12(2)(e) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan di bawah 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sarifudin berkata, seramai 11 lelaki berusia antara 23 hingga 66 tahun juga ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis turut menahan lima lelaki yang menunggang secara merbahaya dengan melakukan aksi 'zig zag, 'superman', roket serta bersaing sesama sendiri dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya DUKE dan Jalan Bangsar.

"Kesemua tangkapan berusia 14 hingga 21 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 571 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 22 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai ekzos.

Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!