Maritim patah cubaan seludup 1,156 peket minyak masak

A
A
A

SEMPORNA - Cubaan tiga lelaki warga asing menyeludup keluar 1,156 peket minyak masak ke negara jiran gagal apabila dua daripadanya ditahan ketika sedang memunggahkan bekalan berkenaan ke dalam tiga bot, di Kampung Bangau-Bangau di sini awal pagi Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, anggota bertugas dalam Op Pluto Timur diatur gerak ke lokasi selepas menerima maklumat dari unit perisikan maritim berkaitan pergerakan bot mencurigakan berhampiran kelong ikan di lokasi kejadian pada jam 5.30 pagi.

"Didapati tiga lelaki memindahkan bekalan minyak masak dari sebuah kelong ikan ke dalam tiga bot dan apabila suspek menyedari kehadiran bot ronda, seorang daripada suspek nekad terjun ke laut berenang ke arah daratan untuk melarikan diri, manakala dua lagi suspek berusia 16 dan 30 tahun berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kini pihak Maritim giat mengesan suspek yang melarikan diri dan keseluruhan rampasan termasuk bot bernilai RM22,400.

Norrimi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim agar melaporkan segera ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna dengan menghubungi talian 089-782619 atau MERS 999.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperkukuhkan penguatkuasaan di sekitar kawasan 'panas' terutama sempadan perairan negara dalam usaha membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang haram ke Sabah melalui jalan laut. - Bernama

Artikel Berkaitan: