Pesawah rugi RM100,000, padi ditenggelami air

Dari kanan; Idris Bakar, Mohd Shukri Ghani dan Othman Md Isa menunjukkan padi yang tenggelam dan tidak dapat diselamatkan di Kampung Telaga Batu, Mukim Jeram, Jitra.
Dari kanan; Idris Bakar, Mohd Shukri Ghani dan Othman Md Isa menunjukkan padi yang tenggelam dan tidak dapat diselamatkan di Kampung Telaga Batu, Mukim Jeram, Jitra.
A
A
A

JITRA - Lebih 40 pesawah di Kampung Telaga Batu, Mukim Jeram, dekat sini kerugian kira-kira RM100,000 selepas tanaman padi yang diusahakan mereka ditenggelami air.

Rata-rata mereka juga mendakwa sistem saliran sepanjang lima kilometer yang tidak diselenggarakan oleh pihak berwajib menjadi antara punca 40 hektar sawah di kampung itu ditenggelami air.

Seorang pesawah, Mohd Helmi Abu Hanafiah,45, yang mengalami kerugian RM7,000 berkata, sawah di sekitar saliran tersebut ditenggelami air kira-kira dua meter beberapa hari selepas hujan lebat sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, jika sistem saliran diselenggara dan berfungsi dengan baik, mereka percaya jumlah kerugian mungkin tidak sebesar yang dialami sekarang.

"Sedih bila lihat padi yang sudah berusia 90 hari dan boleh dituai tenggelam dalam air. Kami berasa kecewa kerana sudah banyak mengeluarkan modal tetapi tidak dapat untung.

"Air yang tenggelamkan padi kami ini tidak dapat keluar ke Sungai Pida Dua berdekatan disebabkan sistem saliran yang tidak diselenggarakan selain dipenuhi dengan pokok liar dan kayu," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Mohd Helmi Abu Hanafiah (tiga dari kiri) dan beberapa pesawah lagi menunjukkan sistem saliran yang tidak diselenggarakan di Kampung Telaga Batu, Mukim Jeram, Jitra.
Mohd Helmi Abu Hanafiah (tiga dari kiri) dan beberapa pesawah lagi menunjukkan sistem saliran yang tidak diselenggarakan di Kampung Telaga Batu, Mukim Jeram, Jitra.

Mohd Helmi berkata, dia dan pesawah lain mula bimbang apabila hujan lebat dan jika berterusan selama lebih dua jam maka kawasan sawah akan ditenggelami oleh air.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pesawah yang terjejas, Idris Bakar,76, berkata, mereka berusaha menyelamatkan pokok padi dengan mengepam air keluar dari petak sawah.

Namun katanya, usaha itu tidak berbaloi kerana mereka tetap berdepan kerugian kerana kilang akan memotong hasil 20 peratus hingga 30 peratus kerana terdapat padi yang rosak serta kurang berkualiti selepas ditenggelami air beberapa hari.

"Kami memohon Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) agar turun melihat masalah kami termasuk menyelenggarakan sistem perparitan yang bermasalah ini," katanya.

Perkara sama turut disokong oleh seorang lagi pesawah, Mohd Shukri Ghani, 48, yang berharap masalah tersebut perlu diselesaikan segera berikutan penanaman padi musim 2/2021 yang ditetapkan oleh MADA juga telahpun bermula.