ABIM optimis bawa agenda tolak rasuah

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) optimistik dan beriltizam untuk membawa agenda tatakelola baik dan tolak rasuah sebagai nilai bersama bangsa Malaysia.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia ke arah membentuk bangsa Malaysia sebagai bangsa yang bermaruah, bangsa berintegriti, amanah serta menolak rasuah dan penyelewengan.

Menurutnya, agenda itu ditetapkan susulan kejayaan penganjuran program 'Noor Conference' dengan tema 'Tatakelola Yang Baik' anjuran ABIM dengan kerjasama rakan strategik khususnya Sinar Harian dan Malaysia Reform Initiative (Mari) semalam (Sabtu).

"Program yang dianjurkan ini adalah satu kemuncak awal untuk ABIM membawa kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya serta masyarakat rantau Asia Tenggara umumnya dan kepentingan bersama mendukung elemen tatakelola yang baik dengan ketelusan, tolak rasuah, integriti serta kepimpinan yang beramanah.

"Justeru, ABIM menyeru semua pihak untuk bersama mengangkat tema ini sebagai nilai besar yang didukung bersama sebagai watak dan definisi kita sebagai rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan berkenaan melibatkan beberapa tokoh akademik, aktivis dan pemimpin masyarakat serantau dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Muhammad Faisal berkata, beberapa resolusi penting dicapai menerusi program berkenaan.

"Kita menginsafi bahawa seluruh warga yang mendiami rantau Asia Tenggara ini tanpa mengira kaum, agama, kepulauan telah lama berpegang kepada pengamalan-pengamalan murni yang dikongsi bersama oleh generasi kita terdahulu, yang saling berinteraksi antara satu sama lain, terbuka untuk saling mengukuh, sentiasa menganjurkan persefahaman, serta mengutamakan nilai keseimbangan dan kesederhanaan dalam pegangan hidup menerusi acuan masyarakat kosmopoliatan.

Artikel Berkaitan:

"Maka, atas kesedaran ini, ABIM dan Noor Conference meletakkan beberapa resolusi sebagai resolusi bersama atas kebersamaan dan perkongsian nilai bersempena Conference bertajuk 'Good Governance: Quest For The Future' ini," katanya.

Resolusi itu adalah menghayati bahawa seluruh warga yang mendiami negara dan rantau ini memikul amanah untuk menjaga negara dengan baik berteraskan prinsip luhur berasaskan panduan kedaulatan Undang-undang dan Perlembagaan.

Menurutnya, pihaknya juga menyedari bahawa prinsip-prinsip tatakelola baik atau 'good governance' yang menjadikan negara sebagai negara bermaruah adalah merupakan salah satu nilai bersama rantau ini yang harus didukung bersama oleh seluruh warga.

"Kita juga menginsafi bahawa pengamalan dan penguatkuasaan prinsip-prinsip tatakelola yang baik adalah sesuatu yang telah diterap secara sebati dalam masyarakat Muslim, yang menatijahkan keagungan ketamadunan di zaman silam.

"Justeru kita beriltizam untuk bertindak segerak dalam mendidik masyarakat Muslim akan kepentingan mengembalikan etos dan wibawa yang wujud dalam mengorak ketamadunan berasaskan prinsip keluhuran, kejujuran serta ketelusan di pentas tatakelola yang baik," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menggarap segala nilai yang terangkum dalam prinsip tatakelola baik meliputi horizon yang luas yang turut meliputi agenda memelihara kemapanan kualiti hidup dan kelestarian alam untuk diagendakan serta diarusperdanakan untuk menjadi dasar penting negara sebagai solusi penting kepada penyakit yang menyelubungi masyarakat rantau ini.