Paip pecah: 15 kawasan belum terima bekalan air

Sebanyak 41 kawasan di Gombak terlibat gangguan bekalan air sejak Sabtu susulan insiden paip pecah berhampiran jejambat Ampang Point. - Foto Air Selangor
Sebanyak 41 kawasan di Gombak terlibat gangguan bekalan air sejak Sabtu susulan insiden paip pecah berhampiran jejambat Ampang Point. - Foto Air Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 63 peratus daripada 41 kawasan yang terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah berhampiran jejambat Ampang Point, Jalan Ampang di sini sudah menerima bekalan air setakat jam 10 pagi pada Ahad.

Bagaimanapun, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, terdapat 15 kawasan yang masih belum menerima bekalan air antaranya Kampung Muhibah Ampang, Kampung Tasik Permai, Kampung Ampang Indah, Kampung Indah Permai dan Kampung Ampang Campuran.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya jam 10 malam ini.

"Air Selangor berharap pengguna yang telah mendapat bekalan air, menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," kata kenyataan itu pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, pengguna terlibat boleh mengikuti perkembangan semasa status pemulihan air menerusi medium komunikasi di aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram.

"Sebarang aduan dan pertanyaan boleh dilakukan dengan menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di www.airselangor.com," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: