Liwat murid: Bakal guru dijel 14 tahun dan 6 rotan

Tertuduh dipenjara 14 tahun dan 6 sebatan selepas didapati bersalah meliwat bekas muridnya yang berusia 12 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh dipenjara 14 tahun dan 6 sebatan selepas didapati bersalah meliwat bekas muridnya yang berusia 12 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bakal guru pendidikan seni dan visual dijatuhi hukuman 14 tahun penjara dan enam sebatan setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan meliwat seorang murid tahun enam, tiga tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Mohamad Harman Faiz Hassin, 28.

Beliau juga memerintahkan bakal guru dari Kota Bharu, Kelantan, mendapatkan sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman penjara serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara nanti.

Semasa membuat keputusan itu, Azman menegaskan hukuman berat patut dijatuhkan kepada tertuduh di atas perbuatannya kerana dia sudah pecah amanah yang diberikan oleh ibu bapa mangsa.

Tambah Azman, kerana perbuatan itu juga, mangsa mengalami trauma yang teruk sehingga tidak mahu ke sekolah dan terpaksa menerima rawatan kaunseling di bahagian psikiatri Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ).

Tertuduh, didakwa meliwat mangsa,12, tanpa kerelaannya di sebuah bilik asrama di sebuah Institusi Pendidikan Guru (IPG) di Besut, kira-kira jam 1 petang, pada 17 September 2016.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan jenayah mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta boleh dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum kejadian, kira-kira jam 10.15 pagi, tertuduh datang ke rumah mangsa yang juga merupakan bekas muridnya sepanjang tempoh latihan amali dan meminta izin daripada kedua-dua ibu bapa mangsa untuk menemaninya ke pekan Jerteh bagi membayar bil.

Artikel Berkaitan:

Selepas selesai menjelaskan urusan pembayaran bil, tertuduh didakwa membawa mangsa ke bilik asrama dan setibanya di bilik berkenaan, tertuduh didakwa ada menyuruh mangsa bermain permainan komputer miliknya.

Semasa sedang asyik bermain, tertuduh dipercayai menghampiri mangsa sebelum meliwatnya tanpa kerelaan.

Mangsa yang menangis kerana ketakutan memaksa tertuduh menghantarnya pulang ke rumah sebelum mengambil keputusan menceritakan kejadian kepada kedua ibu bapanya kerana tidak tahan menanggung kesakitan di bahagian duburnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela dari Tetuan Syukri.