Tapak kubur kekal milik orang Islam: Exco

Tapak tanah perkuburan Islam di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, masih kekal status tapak perkuburan Islam dan tiada sebarang pertukaran berlaku. Gambar kecil: Arul
Tapak tanah perkuburan Islam di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, masih kekal status tapak perkuburan Islam dan tiada sebarang pertukaran berlaku. Gambar kecil: Arul
A
A
A

SEREMBAN – Tapak tanah perkuburan Islam di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng, masih kekal status tapak perkuburan Islam dan tiada sebarang pertukaran berlaku.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, tapak perkuburan Islam seluas 10.5 hektar yang telah diwartakan tersebut akan kekal sebagai tapak perkuburan Islam.

Katanya, tanah tersebut telah diwartakan sebagai tapak perkuburan Islam di bawah kawalan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Tapak kubur itu adalah tanah yang diserahkan oleh pemaju kepada kerajaan untuk tujuan perkuburan, iaitu salah satu syarat semasa membangunkan kawasan perumahan, dan sehingga hari ini tapak tersebut kekal sebagai tanah perkuburan Islam serta tidak berlaku sebarang pertukaran kepada bukan Islam.

"Saya akan memastikan dalam penyelesaian isu tapak perkuburan Hindu di Taman Tasik Senangin Lenggeng ini, tidak akan ada seinci pun tapak perkuburan Islam yang telah diwartakan itu dijadikan sebagai tapak perkuburan bukan Islam," katanya dalam satu hantaran di media sosialnya pada Ahad.

Katanya, sejak seminggu lalu, ada pihak telah menularkan dan membuat dakwaan bahawa tapak kubur Islam di Taman Tasik Senangin, Lenggeng ditukar menjadi perkuburan bukan Islam.

Jelasnya, isu ambil alih tapak tanah perkuburan itu timbul, selepas satu perbincangan yang diadakan untuk memindahkan tapak perkuburan Hindu lama yang terletak kira-kira 200 meter dari tapak perkuburan Islam.

"Tapak perkuburan Hindu tersebut berada di situ, sebelum kawasan perumahan seluas lebih kurang 2,000 ekar ini dibangunkan oleh pemaju, iaitu sejak kawasan itu sebagai Ladang Lenggeng.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami akan kenal pasti tanah lain, untuk menyelesaikan tapak perkuburan Hindu yang terletak di atas tanah untuk kegunaan kemudahan awam.

"Tapak perkuburan Islam Tasik Senangin Lenggeng itu, masih kekal tapak perkuburan Islam, dan masyarakat dinasihatkan supaya tidak sebarkan info yang tidak betul, kerana boleh menimbulkan kekeliruan," katanya.

Pada 8 September lalu, media melaporkan penduduk di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng dekat sini membantah tuntutan terhadap sebidang tanah di kawasan itu yang telah diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam

Wakil penduduk, Mustaqim Mustaza, 40, berkata, pihaknya mendapat maklumat, terdapat permohonan untuk sebahagian daripada tanah itu dijadikan sebagai tanah perkuburan orang bukan Islam.