MFL akur keputusan

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

PENTADBIR Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akur dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sementara kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke venue sukan dan rekreasi di kawasan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Malah, menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan KBS itu secara keseluruhan disifatkan sebagai pendekatan terbaik pada masa ini dalam memastikan kesemua venue sukan dapat menyediakan perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

“MFL memahami keprihatinan KBS berhubung keputusan penangguhan sementara kebenaran kehadiran penonton khusus kepada negeri-negeri yang berada pada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Di bawah Fasa Empat PPN, hanya 50 peratus atau maksimum 10,000 penonton dibenarkan hadir ke venue sukan dan rekreasi. Malah venue ini bukan hanya melibatkan stadium untuk perlawanan bola sepak sahaja, tetapi turut melibatkan sukan-sukan lain.

“Mungkin KBS mahu memastikan SOP dapat dilaksanakan dengan lebih ketat selain dipatuhi semua pihak bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik Covid-19 dalam komuniti sukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

MFL pada 3 September lalu menyerahkan permohonan cadangan SOP Liga-M 2021 termasuk kebenaran untuk kemasukan semula penyokong yang telah lengkap vaksinasi bagi saingan Piala Malaysia edisi ke-100.

Permohonan itu diserahkan Ab Ghani ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Putrajaya.

Pada pertemuan itu, Ab Ghani turut juga memberi penerangan kepada Khairy perkembangan Liga-M yang sudah bermula sejak 5 Mac lalu menerusi SOP ketat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Artikel Berkaitan:

KBS sebelum itu menangguhkan sementara kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke venue sukan dan rekreasi di kawasan fasa empat PPN.

Kementerian menerusi kenyataan memaklumkan bahawa penangguhan itu bagi membolehkan perincian semula Protokol Am Pengurusan Penonton/Penyokong dilaksanakan dengan mengambil kira penilaian risiko semasa.

“KBS telah membentangkan cadangan kehadiran penonton atau penyokong ke venue bagi pertimbangan kerajaan melibatkan kawasan di bawah PPN Fasa Dua dan Tiga.

“Susulan itu, Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 Selasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada Rabu memutuskan agar KBS memperincikan Protokol Am itu dengan penelitian terhadap beberapa aspek dengan mengambil kira input dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut KBS.

Menurut kenyataan itu, KBS amat komited bagi memastikan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi dilakukan dengan teliti seiring dengan keperluan kesihatan awam.