SPRM suntik elemen budaya negeri dalam kempen antirasuah

SPRM
SPRM
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memasukkan elemen kebudayaan di setiap negeri dalam kempen antirasuah agar ia lebih dekat dengan masyarakat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam merealisasikan kempen kesedaran berkenaan.

"Kita akan melihat kaedah yang kita buat ini... kita akan cuba perluaskan dengan budaya negeri lain pula. Kita mengambil peluang konsep budaya untuk mengetengahkan unsur-unsur antirasuah kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Dondang Sayang Hibrid Pantun Bertema Antirasuah di Panggung Seri JKKN Melaka di Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ketua Pengarah JKKN Mesran Md Yusop.

Norazlan berkata, SPRM juga giat menjalankan kempen kesedaran secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19 dalam usaha mendidik masyarakat berkaitan pencegahan rasuah dalam komuniti.

Menurut beliau, menerusi langkah berkenaan, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama SPRM di tempat masing-masing tanpa perlu hadir secara fizikal. -Bernama

Artikel Berkaitan: